AM > BERITA

Rakyat Malaysia Dijemput Jelajah Arab Saudi Melangkaui Kembara Rohani

30/08/2024 08:48 AM

PUTRAJAYA, 29 Ogos (Bernama) -- Arab Saudi kini memperluas sambutannya melangkaui kembara berbentuk kerohanian dengan menjemput rakyat Malaysia untuk meneroka ke seluruh pelusuk negara itu sebagai antara destinasi pelancongan yang paling pesat berkembang di dunia.

Presiden Pihak Berkuasa Pelancongan Arab Saudi (STA) bagi Pasaran Asia Pasifik Alhasan Al-Dabbagh berkata negara itu menawarkan pelbagai tarikan selepas melalui transformasi besar-besaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan melabur dalam infrastruktur serta mewujudkan kalendar aktiviti sepanjang tahun.

“Sejak sekian lama, berjuta-juta rakyat Malaysia telah datang ke Arab Saudi untuk menunaikan ibadah Haji dan Umrah, mereka sentiasa dialu-alukan untuk melakukan kembara rohani namun Arab Saudi kini juga adalah satu destinasi pelancongan.

“Terdapat banyak yang boleh Arab Saudi tawarkan kerana ia sememangnya amat kaya dengan budaya dan warisan, jadi terdapat begitu banyak monumen. Malah terdapat lapan tapak Warisan Dunia UNESCO di Arab Saudi,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Pameran Pelancongan Arab Saudi anjuran STA di IOI Mall di sini semalam.

Pameran buat julung kali itu, yang berlangsung selama lima hari, turut mengetengahkan lebih 13 agensi pelancongan terkemuka Malaysia yang menampilkan pelbagai tarikan pelancongan di Arab Saudi.

Alhasan juga berkata Malaysia adalah antara negara yang layak mendapat e-visa sekali gus menjadikannya lebih mudah berbanding sebelum ini untuk melancong ke Arab Saudi kerana pengembara boleh memiliki visa mereka secara online dalam tempoh beberapa minit sahaja.

Beliau berkata Visa Persinggahan 96 jam juga adalah tawaran yang hebat untuk pengembara menikmati tempoh transit di Arab Saudi yang lebih lama.

“Ia satu tawaran hebat kerana mana-mana rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan melalui Arab Saudi boleh memulakan perjalanan selama 96 jam secara percuma. Berbekalkan visa ini, mereka boleh menunaikan Umrah dan berkunjung ke mana-mana bandar yang mereka inginkan. Malah jika anda memiliki visa Umrah, anda boleh pergi ke mana-mana bandar di Arab Saudi. 

“Anda boleh berhenti dahulu di Riyadh sebelum menunaikan Umrah di Makkah atau ziarah di Madinah. Jika anda memiliki visa pelancong iaitu visa bagi tempoh 12 bulan atau visa kemasukan berbilang maka anda juga boleh menunaikan Umrah. Jadi, kami telah memudahkannya,” kata beliau.

Alhasan juga berkata pas bermusim Riyadh pula menawarkan banyak tarikan termasuk pelbagai acara hiburan, budaya dan sukan yang bakal berlangsung di ibu kota Arab Saudi itu Oktober ini.

“Pada Mac 2025, kami akan menganjurkan Formula 1. Kami ke sini dengan pelbagai tawaran istimewa dan beberapa rakan kongsi kami di pameran pelancongan di IOI Putrajaya ini turut memberikan harga diskaun yang eksklusif untuk Formula 1,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan