AM > BERITA

Banduan PRP Mantin Tawar Perkhidmatan Refleksologi

02/09/2024 02:31 PM

Oleh Sarinah Mat Kasim

SEREMBAN, 2 Sept (Bernama) -- Menjalani kehidupan di balik tirai besi tidak melunturkan semangat seorang banduan di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Mantin, di sini untuk berubah dan memajukan diri dengan menawarkan perkhidmatan urutan refleksologi 

Hanya dikenali sebagai, Man, 37, yang berasal dari Pahang, merupakan banduan atas kesalahan dadah dan sedang menjalani hukuman penjara lima tahun sejak 2022.

"Di PRP Mantin ini saya banyak belajar tentang kehidupan dan cara meneruskan kehidupan selepas keluar daripada tahanan nanti...niat saya mahu mengubah diri jadi lebih baik. Saya juga semakin bersemangat apabila diberikan tawaran mengikuti program urutan refleksologi di sini sejak dua bulan lepas.

“Alhamdulillah sambutan amat menggalakkan, dalam sehari kami menerima kira-kira 20 pelanggan terdiri daripada orang luar. Pendapatan hasil mengurut itu disimpan oleh pihak pengurusan PRP sebelum diserahkan kembali kepada kami selepas tamat tempoh hukuman nanti," katanya kepada Bernama.

Man berkata PRP Mantin itu dibuka setiap hari bermula 8 pagi hingga 3 petang dengan caj RM20 dikenakan bagi setiap sesi urutan selama 40 minit. 

Bapa kepada dua anak itu sebelum ini menjalani hukuman di Penjara Bentong, Pahang kemudian dipindahkan ke PRP Mantin hingga tamat tempoh hukuman kelak.

Dia berkata melalui kemahiran itu dia berharap dapat mengambil upah mengurut dan menjadikannya sebagai mata pencarian bagi menyara keluarga selepas keluar penjara nanti.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Penjara Mohd Arif Shamsuddin berkata hanya banduan yang menjalani hukuman singkat dan tidak mendatangkan risiko serta berkelakuan baik diberi kursus tersebut.

“Pusat refleksologi di PRP Mantin ini diwujudkan sejak setahun lepas, yang bertujuan untuk banduan memantapkan kemahiran dan menambah baik teknik urutan supaya dapat dimanfaatkan apabila selesai menjalani hukuman nanti,” katanya.

Mohd Arif berkata terdapat 12 banduan mahir di pusat refleksologi PRP Mantin itu dan setiap hujung minggu banduan tersebut akan dibawa ke sebuah pasar raya untuk mengambil upah mengurut. 

Beliau berkata selain mengurut, kemahiran lain yang ditawarkan kepada  banduan lain seperti bercucuk tanam dan bertukang mengikut kebolehan masing-masing supaya dapat dimanfaatkan selepas dibebaskan kelak. 

Sejak PRP Mantin dibuka tiga tahun lepas, sebanyak 654 banduan mendapat pekerjaan di kilang terpilih di seluruh negeri ini selain mengusahakan kerja sendiri melalui kemahiran dipelajari sewaktu di PRP ini.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan