AM > BERITA

Teater Cicit Wan Lebo Promosi Adat Dan Budaya Perak

03/09/2024 08:37 PM

IPOH, 3 Sept (Bernama) -- Pementasan teater “Cicit Wan Lebo” yang menggunakan loghat Perak Tengah menjadi antara daya penarik bagi mempromosikan adat dan budaya masyarakat di negeri ini sekali gus menyemarakkan semula aktiviti teater tempatan. 

Pengarahnya Amran Nasrudin berkata lebih menarik teater berkenaan akan dibintangi pelakon yang terdiri daripada anak jati Perak seperti Anne Zahurin, Mubarak Majid, Reza Hasbi, Dewa Sapri, Zarina Zainuddin dan Raisuddin Hamzah.

“Teater yang sama telah kita pentaskan dua tahun lepas di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur dan kali ini kita bekerjasama dengan Persatuan Seni dan Karyawan Perak Tengah bagi menjayakannya.

“Cara yang kita lakukan ini juga merupakan satu daripada usaha menyemarakkan aktiviti teater di Perak selepas mengalami zaman suram akibat penularan COVID-19,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Perak di sini hari ini.

Teater berdurasi satu jam 30 minit dan bergenre muzikal itu mengisahkan seorang wanita dikenali dengan nama Wan Lebo lakonan Anne Zahurin yang terkenal sebagai bidan kampung dan pengamal perubatan tradisional.

Dalam masa yang sama, dia turut berbakat sebagai penglipur lara yang menyampaikan mesej dan nasihat melalui syair, pantun dan seloka kepada para penduduk di Kampung Ekor Bota, Parit.

Konflik berlaku apabila dia mengharapkan cucunya Senah sebagai pewaris selepas dia tiada nanti, namun Senah lebih berminat menjadi jururawat dan hasratnya kurang dipersetujui Wan Lebo.

Dalam pada itu, Amran berkata teater itu akan dipentaskan secara percuma di Dewan Ngah Sagor, Parit bermula pada 26 hingga 28 Sept ini.

Sementara itu, penasihat program Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata beliau optimis pementasan teater Cicit Wan Lebo itu akan menarik minat orang ramai khususnya penduduk sekitar Perak Tengah.

Beliau berkata ini kerana loghat serta budaya ditonjolkan dalam teater berkenaan merupakan sebahagian daripada rutin dalam kehidupan masyarakat dahulu mahupun sekarang. 

“Saya yakin pementasan teater itu nanti akan mendapat sambutan kerana loghat atau bahasa yang digunakan adalah bahasa seharian masyarakat Perak Tengah.

“Itu antara daya penariknya dan kalau lihat dengan lebih meluas ia antara cara memperkasakan semula daerah Perak Tengah yang kita ketahui suatu ketika dulu terkenal dengan aktiviti seni dan budaya,” katanya.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan