AM > BERITA

Operasi Pasar Malam Di Perlis Ditutup Sementara Semasa Maghrib Bermula 15 Sept

04/09/2024 07:23 PM

KANGAR, 4 Sept (Bernama) -- Perlis akan menguatkuasakan peraturan menutup sementara operasi perniagaan pasar malam ketika waktu maghrib bermula pada 15 Sept.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perlis Asrul Aimran Abd Jalil berkata pelaksanaan di bawah program 'Berhenti Dulu Kita Solat' yang dipersetujui dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis pada 21 Ogos lepas itu sebagai antara inisiatif memperkasakan kempen Hayya Ala-Solah.

Beliau berkata sebahagian kecil peniaga bukan Islam turut digalakkan menutup perniagaan sepanjang tempoh berkenaan namun tiada sebarang halangan jika mahu meneruskan perniagaan.

"Program ini akan berkuat kuasa di semua tapak pasar malam di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) atau swasta di seluruh negeri ini.

"Tempoh pelaksanaan program bermula 10 minit sebelum dan 10 minit selepas waktu solat maghrib bagi membolehkan para peniaga dan pengunjung menunaikan solat dalam keadaan selesa dan tidak tergesa-gesa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Asrul Aimran berkata buat permulaan sebagai langkah mendidik masyarakat, anggota penguat kuasa PBT akan turun padang bagi memastikan kejayaan program itu dengan memberikan nasihat dan teguran.

"Inisiatif ini juga bertujuan menggalakkan pengunjung beragama Islam supaya tidak membeli-belah ketika waktu solat maghrib selain mendidik rakyat menunaikan solat pada awal waktu dan tidak melengah-lengahkan solat," katanya.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan