AM > BERITA

52 Tahun Berlalu, Waris Tragedi Feri Karam Sg Kerian Imbas Kisah Duka

12/09/2024 08:44 PM

PARIT BUNTAR, 12 Sept (Bernama) -- Meskipun hampir 52 tahun berlalu, rasa terkilan masih menyelubungi diri A. Perumal, 74, kerana tidak dapat menatap wajah mendiang bapanya, S. Annamalai buat kali terakhir sebelum atendan feri itu terkorban dalam tragedi feri karam di Sungai Kerian pada 1972.

Mengimbas kembali peristiwa tragis yang mengorbankan 27 nyawa itu, Perumal, anak sulung daripada lapan beradik berkata sewaktu kejadian, dia yang bekerja sebagai tukang kebun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) ACS Parit Buntar di sini, sedang bersiap untuk ke tempat kerja.

“Semasa saya hendak keluar, tiba-tiba jiran memaklumkan kepada kami bahawa feri yang dibawa oleh bapa telah tenggelam di Sungai Kerian.

“Macam-macam perasaan ada pada waktu itu. Tanpa berlengah saya terus tarik tangan ibu dan bawa dia bersama-sama ke tempat kejadian untuk melihat sendiri apa yang telah berlaku,” katanya ketika ditemui Bernama pada Majlis Pengkisahan Sejarah Feri Karam di Sungai Kerian di Dewan Merdeka di sini hari ini.

Tragedi hitam yang berlaku pada 13 Sept 1972 itu mengorbankan 27 nyawa termasuk pelajar dari Sekolah Rendah Methodist Parit Buntar dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Kerian di Parit Buntar.

Kejadian berkenaan dipercayai berlaku sewaktu hujan lebat yang menyebabkan arus sungai menjadi deras sekali gus memutuskan tali kabel feri yang menghubungkan kedua-dua tebing Sungai Kerian di sebelah Perak (Parit Buntar) dan Kedah (Bandar Baharu).

Sementara itu, Perumal berkata walaupun menganggap pemergian mendiang Annamalai sebagai satu tragedi, namun dia berbangga kerana bapanya sanggup berkorban nyawa demi menyelamatkan mangsa-mangsa yang terdiri daripada kalangan pelajar sekolah berbangsa Cina.

“Dia boleh sahaja selamatkan dirinya, tetapi mungkin disebabkan faktor tanggungjawab yang menyebabkan mendiang nekad mengambil risiko untuk menyelamatkan para pelajar terbabit,” katanya.

Perumal berkata pengorbanan itu juga telah mendapat perhatian bekas Yang di-Pertuan Agong Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mengurniakan Pingat Pangkuan Negara atas tindakan berani Annamalai.

Seorang lagi waris mangsa tragedi Chan Wan Teck, 70, berkata sebelum kejadian berlaku, adiknya mendiang Chan Wan Hock, pelajar SMJKC Kerian yang berusia 14 tahun ketika itu, enggan pergi ke sekolah pada hari itu.

Katanya, perkara berkenaan dimaklumkan ibunya yang turut berasa pelik dengan kelakuan itu kerana lazimnya mendiang adiknya tidak pernah ponteng sekolah.

"Pada hari kejadian dia macam berat hati sehinggakan ibu terpaksa memaksanya keluar dari bilik untuk ke sekolah, rupa-rupanya perbuatan 'pelik' yang dilakukan itu mungkin petanda bahawa dia pergi buat selama-lamanya," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan