AM > BERITA

MA63: Penyelesaian 11 Tuntutan Satu Titik Manis Dalam Sejarah Malaysia - Penganalisis

14/09/2024 03:26 PM

Oleh Hamdan Ismail

KUCHING, 14 Sept (Bernama) -- Hari Malaysia yang bakal diraikan pada Isnin ini pastinya mencatatkan lembaran manis buat rakyat Sabah dan Sarawak, terutama apabila 11 daripada 21 tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), akhirnya diselesaikan.

Disifatkan sebagai hadiah berharga buat masyarakat Borneo, komitmen Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengotakan janji mengembalikan hak Sarawak dan Sabah yang terhakis sebelum ini, nampaknya bukanlah omongan kosong.

Perkembangan terbaharu itu disifatkan beberapa pakar yang ditemu ramah Bernama sebagai sesuatu yang positf dan pastinya menjadi nadi penilaian masyarakat Borneo khususnya di Sarawak, untuk bersandar harapan dan keyakinan kepada kerajaan MADANI.

Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Suffian Mansor berkata kejayaan penyelesaian itu, menunjukkan usaha bersungguh-sungguh kerajaan MADANI mengotakan janji mengembalikan hak-hak Sarawak dan Sabah di bawah MA63.

“Hal ini cukup manis, kerana penyelesaian 11 perkara ini berlaku beberapa hari sebelum ulang tahun ke 61 Malaysia. Ini akan mewujudkan rasa gembira (rakyat) dan menyokong penuh, bahawa Malaysia terus berada pada ylandasan yang betul,” katanya kepada Bernama.

Suffian berkata penyelesaian tuntutan ini juga merupakan satu kemajuan besar, kerana di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim banyak hasil yang bermanfaat diperolehi Sarawak dan Sabah daripada beberapa siri perbincangan yang dijalankan.

Beliau berkata perkara kawal selia bekalan gas merupakan penyelesaian paling signifikan bagi Sarawak, kerana gas merupakan hasil yang dikeluarkan dari negeri itu dan bertepatan untuk mempertahankan haknya mengawal hasil buminya sendiri.

“Ia juga dapat menjana pendapatan Sarawak untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyatnya.

“Usaha menemui pencapaian ini juga singkat dan memberikan kedua-dua negeri ini kedudukan perkongsian bersama dengan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Khamis lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof selepas mesyuarat Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Pusat Konvensyen Antarabangsa di Kota Kinabalu berkata sebanyak 11 tuntutan di bawah platform rundingan MA63 telah berjaya diselesaikan, dengan tujuh daripada tuntutan itu diselesaikan di bawah kerajaan pentadbiran Anwar Ibrahim.

Ini termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik, penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas, serta pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 bagi melantik wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 berkata penyelesaian itu turut merangkumi tuntutan berkaitan pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak serta garis panduan khas penyerahan semula tanah dirizabkan bagi maksud Persekutuan di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) Dr Abdul Hadi Samsi berkata kejayaan menyelesaikan 11 daripada 21 tuntutan Sabah dan Sarawak di bawah MA63 ini, memberikan impak positif kepada kedua-dua negeri itu.

Beliau berkata kuasa autonomi yang telah dikembalikan itu, akan membolehkan kerajaan Sarawak dan Sabah untuk mengurus dan mentadbir mengikut acuan mereka sendiri, tanpa dipengaruhi oleh Kerajaan Persekutuan.

“Kedua-dua negeri ini dapat menambah peruntukan bagi membangunkan keperluan asas yang lebih baik dan seterusnya, rakyat dapat menikmati kemudahan asas yang berkualiti, sama seperti kemudahan asas yang telah dinikmati oleh rakyat yang berada di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Abdul Hadi berkata dari segi peruntukan kewangan, dana daripada kerajaan Persekutuan dapat disalurkan secara adil dan setimpal dengan saiz geografi dan populasi Sarawak dan Sabah, bagi pembangunan ekonomi yang lebih mampan.

 Beliau berkata penyelesaian ini juga akan membuka jalan bagi kerajaan Persekutuan meningkatkan fokus kepada isu sosial dan ekonomi masyarakat peribumi, hak-hak tanah adat, serta meningkatkan peluang ekonomi bagi golongan yang terpinggir di Sabah dan Sarawak.

Abdul Hadi berkata bagi beliau, hasil mesyuarat itu mampu memperkukuhkan hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan, serta menambah keyakinan penduduk tempatan terhadap komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menegakkan hak dan kepentingan mereka.

Beliau berkata Kerajaan MADANI juga telah menunjukkan keprihatinan yang tinggi, dalam memastikan kesinambungan pembangunan secara keseluruhannya dapat dinikmati oleh semua rakyat tanpa mengira di mana mereka berada. 

“Ini menunjukkan bukti komitmen yang padu Kerajaan MADANI yang mewujudkan pengaruh positif dalam memperkasakan Sabah dan Sarawak, sekali gus memastikan integrasi yang lebih seimbang antara kedua-dua negeri ini dengan negeri-negeri lain dalam kerangka negara Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan