AM > BERITA

Anwar Berjaya Harmonikan Hubungan, Kunci Keutuhan Kerajaan Perpaduan - Penganalisis

16/09/2024 07:09 PM

Oleh Muhammad Faiz Baharin

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Bermula sebagai gabungan yang diragui keutuhannya oleh ramai pemerhati politik, Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan sebaliknya apabila kekal teguh mentadbir Putrajaya hingga hari ini.

Berbaki dua bulan menjelang tanggal 24 Nov 2024, tarikh itu bakal menjadi saksi kerajaan gabungan yang diterajui Anwar, anak jati Cherok Tok Kun, Pulau Pinang, terus utuh melangkah ke tahun kedua menguasai kerajaan, satu tempoh yang gagal dicapai oleh tiga Perdana Menteri terdahulu.

Penganalisis politik Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata faktor utama kelangsungan Kerajaan Perpaduan ialah kemampuan Anwar 'mengharmonikan' hubungan antara parti dalam gabungan itu selain bijak menepis asakan berterusan seteru politik.

Beliau berkata Anwar bukan sahaja berjaya menerajui kerajaan lebih lama daripada Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketujuh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malah tampil sebagai ketua kerajaan pertama memiliki majoriti dua per tiga di Parlimen sejak Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.

"Walaupun pada awal penubuhan Kerajaan Perpaduan memperlihatkan hubungan longgar antara parti yang pernah bermusuh lama dalam arena politik namun dengan pengalaman dan karisma dimiliki, Anwar berjaya merevolusi situasi itu dengan beliau sendiri menjadi ‘faktor penyatuan’.

"Biarpun wujud percanggahan pendapat dan pertembungan personaliti, Anwar berjaya menanganinya dengan baik malah berhasil mendapatkan komitmen semua parti dalam gabungan sekali gus merakyatkan kepimpinan dengan beberapa agenda yang dipersetujui bersama," katanya kepada Bernama.

Pensyarah Kanan Sosiologi Politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia itu berkata Anwar juga berjaya merentasi babak-babak cemas untuk menjatuhkan kerajaan seperti Langkah Dubai selain tertib menangani sentimen, naratif dan persepsi buruk terhadap kerajaan pimpinannya. 

"Keupayaan 'Kapten Anwar' mengetuai dan membentuk kerjasama jitu di dalam barisan Jemaah Menteri yang berbeza latar politik juga wajar diberi kredit kerana ia sekali gus tidak menyekat usaha memenuhi segala matlamat dan agenda yang diatur untuk pembangunan negara," katanya.

Senada dengan beliau, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Profesor Dr Azmi Hassan yang menyifatkan keupayaan Perdana Menteri ke-10 itu 'menenangkan' landskap politik negara sebagai petanda baik kepada perkembangan ekonomi domestik selain menarik keyakinan pelabur luar.

"Kestabilan kerajaan ditambah dengan keupayaan Perdana Menteri berhujah, very articulate, jadi pelabur luar yakin untuk melakukan pelaburan di sini, kita boleh lihat bila mana acap kali Anwar ke luar negara dan berhujah di hadapan pemimpin luar, itu kelebihan beliau yang memanfaatkan negara," katanya.

Azmi berkata keutuhan Kerajaan Perpaduan ketika ini juga memberi satu tekanan kepada barisan pembangkang yang dilihat kehabisan isu untuk dimainkan.

"Tiada lagi isu terutama soal keabsahan kerajaan, jadi sekarang modal yang kita lihat digunakan pembangkang nak gambarkan kerajaan pimpinan Anwar ini tiada sokongan ialah berkait peruntukan kepada mereka," katanya.

Menyentuh aspek reformasi yang sering dilaungkan Anwar sejak berada dalam barisan pembangkang, beliau berkata Perdana Menteri 'walk the talk’ dengan telah menanam asas reformasi di institusi seperti badan kehakiman, perkhidmatan awam serta swasta dengan menekankan perihal rasuah dan salah laku.

Sementara itu, tanpa menafikan 'perpaduan’ dalam gabungan kerajaan, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA Kedah Tunku Nashril-Abaidah berkata pimpinan tertinggi perlu lebih cakna mengawal tindak-tanduk anggota parti masing-masing.

"Ya, pergeseran itu biasa apatah lagi melibatkan gabungan daripada parti berbeza ideologi namun ada tindakan beberapa pemimpin kerajaan sendiri mengeluarkan kenyataan tidak sensitif termasuk soal agama, ia berisiko mengganggu keharmonian malah memberi ruang kepada musuh untuk memecah-belahkan gabungan," katanya.

Beliau juga berkata keharmonian Kerajaan Perpaduan ketika ini banyak memberi manfaat terutama melibatkan pengurusan ekonomi dan pengenalan dasar yang konsisten serta terbukti memberi impak baik kepada negara.

"Ini amat kita perlukan selepas sekian lama landskap politik negara terumbang-ambing terutama sejak tahun 2020," katanya sambil menambah beliau bersetuju bahawa kesungguhan reformasi pentadbiran yang dilaungkan Anwar selama ini sudah mula kelihatan dalam pentadbiran negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan