AM > BERITA

Lebih 40,000 Banjiri Padang Merdeka Raikan Sambutan Hari Malaysia 2024

17/09/2024 12:36 AM

KOTA KINABALU, 16 Sept (Bernama) -- Padang Merdeka sekali lagi menjadi medan penyaksian semangat jiwa merdeka dengan kehadiran lebih 40,000 rakyat pelbagai lapisan umur, bangsa dan agama bagi menzahirkan rasa cinta kepada negara bertuah ini bersempena Sambutan Hari Malaysia 2024. 

Keterujaan rakyat memeriahkan sambutan ulang tahun ke-61 pembentukan persekutuan negara ini jelas kelihatan apabila mereka mula membanjiri lokasi yang cukup signifikan dengan sejarah pengisytiharan Malaysia pada 16 Sept 1963 itu seawal 5 petang.

Meskipun hujan lebat pada awal sambutan acara yang bermula 8.30 malam, orang ramai tetap setia berada sekitar Padang Merdeka untuk menyaksikan sambutan Hari Malaysia yang gilang-gemilang. 

Terdahulu, pengunjung dihiburkan dengan persembahan sementara menanti ketibaan tetamu jemputan dan acara kemuncak sambutan yang turut disiarkan secara langsung di televisyen serta media sosial.

Majlis itu dihadiri Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet Persekutuan dan negeri.

Hadir sama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2024, ketua-ketua jabatan kerajaan Persekutuan dan negeri.

Acara dimulakan sejurus ketibaan Juhar dan isteri diikuti nyanyian lagu Negaraku, Sabah Tanah Airku serta Sabah Maju Jaya selain persembahan Tarian Sambut Tamu berkonsepkan kepelbagaian etnik Malaysia yang sarat dengan mesej perpaduan.

Ia diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Hajiji disusuli ucapan Perdana Menteri. 

Pada majlis itu, Anwar, Hajiji dan Abang Johari turut menandatangani Buku Khas Hari Malaysia 2024 sebelum memotong kek diikuti tayangan video khas mengenai sejarah pembentukan negara.

Acara diteruskan dengan perarakan masuk Konvoi Kembara Jalur Gemilang bagi penyerahan bendera Malaysia itu dan bacaan ikrar Rukun Negara. 

Persembahan khas merangkumi tarian yang menterjemahkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini dijayakan oleh penari gabungan kerjasama Lembaga Kebudayaan Sabah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sabah, badan bukan kerajaan serta persatuan kebudayaan sekolah di sekitar Kota Kinabalu mewarnai pentas Sambutan Hari Malaysia 2024. 

Para pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan artis terkenal tanah air sebelum sambutan diakhiri dengan pertunjukan bunga api.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan