AM > BERITA

Wanita Jangan Malu Dan Takut Jalani Ujian HPV DNA

18/09/2024 11:50 AM

Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin

KAPIT, 18 Sept (Bernama) -- Masih ada segelintir wanita di Sarawak yang malu atau takut untuk menjalani ujian saringan virus papiloma manusia (HPV) DNA bagi mengesan kanser serviks meskipun ia ditawarkan secara percuma di Klinik Nur Sejahtera Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). 

Ketua Klinikal LPPKN Sarawak Dr Alina Ali berkata mengambil kira faktor geografi dan keluasan negeri, pihaknya turut menghadapi cabaran untuk menggerakkan usaha melaksanakan ujian kendiri HPV DNA, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Kesedaran di negeri ini pada tahap yang bagus, cuma masih ada antara mereka yang layak menjalani ujian ini memberitahu mereka tidak bersedia dan takut atau lebih rela tidak mengetahui status kesihatan mereka.

“Sasaran untuk rakyat Sarawak ialah 30,000 ujian HPV DNA bagi tahun ini, dan kita bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak untuk mencapai matlamat tersebut.

“Sehingga pertengahan bulan ini, kita telah mencapai 12,000 hingga 13,000 ujian,” katanya ketika ditemui Bernama pada Program Kasih Keluarga Ceria di Dewan Masyarakat Melayu Kapit di sini. 

Beliau berkata LPPKN giat mengadakan program kesedaran untuk mengajar wanita Malaysia cara menjalani ujian tersebut, serta menjelaskan perbezaan ujian HPV DNA, ujian saringan pap smear serta suntikan vaksin HPV kepada orang awam.

“Ujian HPV DNA tidak sakit dan mudah untuk dibuat sendiri, seperti kita lakukan ujian pengesanan COVID-19 tetapi untuk HPV kita lakukan ujian pengesanan di bahagian faraj dan perlu dibuat setiap lima tahun, manakala bagi yang positif HPV pula secara berkala iaitu enam bulan hingga setahun sekali,” katanya. 

Inisiatif saringan HPV DNA disediakan secara percuma bagi wanita warganegara atau penduduk tetap berumur 30 tahun sehingga 65 tahun. 

Sehingga 20 Ogos lepas, seramai 139,293 wanita di seluruh negara telah mendapat manfaat daripada program saringan itu sejak ia diperkenalkan pada 2019.

Berdasarkan 31,728 saringan yang dilakukan di Sarawak, sejumlah 2,132 kes positif HPV telah dikesan, manakala 46 kes disahkan prakanser dan lima kes kanser serviks.

Program Kasih Keluarga Ceria dianjurkan sempena Kembara KASIH Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat 2024 berlangsung di seluruh Sarawak dari 14 hingga 21 Sept ini. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan