AM > BERITA

Parlimen: Johari Benarkan Lebih Soalan Penyokong Kerajaan Pada Sesi Soal Jawab

14/10/2024 01:19 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul membenarkan lebih banyak soalan diajukan pihak penyokong kerajaan (backbenchers) dalam kedudukan 10 teratas bagi sesi soal jawab lisan dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Beliau berkata keputusan itu dibuat susulan permohonan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) untuk meningkatkan jumlah pertanyaan oleh pihak penyokong kerajaan kepada enam soalan dalam kedudukan 10 teratas, atas alasan bilangan mereka lebih ramai berbanding pihak pembangkang.

"Seramai 93 ahli penyokong kerajaan dan 75 ahli pembangkang di Dewan Rakyat ini. Peraturan Majlis Mesyuarat tidak menetapkan syarat mengenai susunan pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan. 

"Mulai Mesyuarat Ketiga Parlimen ke-15 di bawah Peraturan Mesyuarat 100, saya membenarkan agar lebih pertanyaan bagi jawab lisan bagi pihak penyokong kerajaan dalam kedudukan 10 teratas aturan pertanyaan," katanya dalam ucapan pemasyuran persidangan Parlimen hari ini.

Johari berkata ketetapan itu bukan bermaksud untuk mengehadkan suara mana-mana pihak, selain beliau akan mengkaji ketetapan itu dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun, beberapa Ahli Parlimen dari blok pembangkang, antaranya Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) memohon Johari untuk mengkaji semula ketetapan itu kerana ia tidak dibincangkan terlebih dahulu dengan pihak pembangkang.

"(Setakat ini) Saya kekalkan keputusan saya hingga saya fikir balik sama ada perlu tukar atau tidak," kata Johari.

Sementara itu, Johari mengingatkan semua Ahli Parlimen untuk menjalani pemeriksaan kesihatan hingga 11 Nov ini bagi membantu mengetahui tahap kesihatan masing-masing pada peringkat awal dan seterusnya membolehkan langkah pencegahan segera diambil.

Bagi menyemai gaya hidup sihat, Johari memaklumkan program hari tanpa gula akan dilaksanakan di Parlimen pada setiap Rabu.

Selain itu, beliau berkata Parlimen Malaysia telah melaksanakan projek pemasangan tenaga suria iaitu Sistem Fotovolta Suria dalam usaha menyokong dasar berkaitan tenaga boleh diperbaharui.

"Parlimen Malaysia merupakan antara Parlimen terawal di dunia yang mengoptimumkan penggunaan tenaga solar dengan kapasiti 1.5 megawatt peak sebagai inisiatif peralihan kepada sumber tenaga yang lebih lestari," katanya.

Dalam pada itu, Johari berkata 19 akta telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim antaranya Akta Kastam (Pindaan) 2024, Akta Eksais (Pindaan) 2024, Akta Zon Bebas (Pindaan) 2024, Akta Cukai Jualan (Pindaan) 2024, Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 dan Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan