AM > BERITA

Bernas, KIMIA Malaysia Meterai Kerjasama Strategik Tingkat Piawaian Kualiti Beras

14/10/2024 08:06 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Padiberas Nasional Berhad (Bernas) memeterai Nota Kerjasama dengan Jabatan Kimia Malaysia (KIMIA Malaysia) bagi melaksanakan ujian perbandingan antara makmal (ILC) dan ujian kemahiran untuk aktiviti penggredan beras.

Bernas dan KIMIA Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Nota Kerjasama itu ditandatangani antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bernas Zulkiflee Abdul Rahman dan Ketua Pengarah jabatan berkenaan Marhayani Md Saad.

Turut menyaksikan pemeteraian kerjasama itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Aminuddin Hassim dan Pengerusi Bernas Datuk Seri Rohani Abdul Karim. 

Menerusi kerjasama itu, Bernas akan menyokong KIMIA Malaysia dalam membangunkan kaedah, menyediakan latihan penganalisaan terhadap sampel beras dan membincangkan isu berkaitan penganalisaan beras untuk tujuan ujian perbandingan antara makmal di samping meningkatkan ujian kemahiran bagi analisis beras.

Makmal Bernas merupakan makmal pertama diiktiraf di Malaysia dan rantau Asia Tenggara melalui ISO17025 dan bakal mengukuhkan usaha meningkatkan kualiti beras selain memastikan konsistensi, kebolehpercayaan dan pematuhan kepada spesifikasi berdasarkan standard ditetapkan.

"Ini merupakan inisiatif pertama seumpamanya di negara ini kerana tiada penyedia program ujian perbandingan antara makmal yang lain bagi skop penggredan beras," menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, Aminuddin menerusi kenyataan sama berkata inisiatif itu akan menjadi pemangkin kepada perubahan terhadap industri padi dan beras negara, sekali gus membawa kesan positif kepada kualiti, keselamatan makanan serta kebolehpercayaan rantaian bekalan padi dan beras dalam jangka panjang. 

“Kerjasama ini bukan sahaja selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi yang didorong oleh sains, teknologi dan inovasi, malah juga menyokong agenda keterjaminan makanan dan meningkatkan daya saing industri beras negara," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan