AM > BERITA

Kawasan Rumah Pusaka Berubah Jadi Laluan Baharu Sungai

14/10/2024 06:38 PM

BALING, 14 Okt (Bernama) -- Seorang penduduk Kampung Teluk Rambong di sini buntu melihat kawasan rumah pusaka yang didiaminya bertukar menjadi sebahagian laluan sungai berhampiran dalam kejadian banjir terbaru malam semalam.

Mohd Naim Asri Baharom, 46, berkata akibatnya halaman rumah pusaka berkenaan kini dipenuhi pasir dan batu yang dibawa arus ketika air sungai melimpah setelah hujan lebat selama beberapa jam.

"Siang semalam hanya lumpur dalam kawasan rumah bersama sisa jambatan yang hanyut, tetapi hari ini batu dan pasir pula penuh rumah, dah jadi laluan air sungai.

"Kalau air naik lagi, akan berubah pula (sisa hanyut), macam itulah bila banjir," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya hari ini.

Pekerja kilang itu berkata keadaan bumbung dan dinding rumahnya yang telah pun roboh sebahagiannya dalam banjir kelmarin semakin teruk apabila sekali lagi dilanda bencana itu malam tadi.

"Saya tak nampak harapan untuk tinggal di rumah ini lagi, memang perlu cari kawasan lain untuk tinggal, nak kena sewa rumah lain.

"Perasaan sedih tak boleh nak digambarkan, rumah pusaka tempat saya membesar bersama adik-beradik, memang banyak kenangan," katanya yang kini tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan berhampiran.

Mohd Naim Asri yang tinggal bersendirian di rumah pusakanya itu berkata banyak barangan yang mempunyai kenangan semasa kecil seperti pakaian lama, perabot dan gambar hilang dihanyutkan air.

Media semalam melaporkan rumah pusaka milik Mohd Naim Asri yang sedang dibaik pulih rosak selepas kampungnya dilanda gelombang ketiga banjir Sabtu lepas.

Sementara itu, tinjauan Bernama di kawasan berkenaan mendapati laluan sungai berpecah kepada beberapa aliran kecil dan kawasan asal tebing sungai pula runtuh dan rumah Mohd Naim Asri kini terletak di tengah-tengah laluan air berkenaan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan