KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengarahkan pemberhentian kerja serta-merta melibatkan sebuah projek di Zon Pentadbiran Taman Persekutuan Bukit Kiara, di sini, susulan kejadian banjir lumpur di Jalan Abang Haji Openg semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata kompaun juga dikenakan ke atas kontraktor yang terlibat manakala kerja pembersihan sedang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bersama DBKL.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata projek itu berada di bawah Jabatan Landskap Negara (JLN) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Saya telah turun ke lokasi malam ini (18 April) bersama-sama dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud. DBKL mengambil tindakan serta-merta berikutan situasi kecemasan serta risiko yang boleh menjejaskan keselamatan penduduk berhampiran,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau.
Hannah berkata langkah-langkah segera yang telah diambil termasuk operasi pembersihan, membuka struktur penghadang di kawasan yang terlibat dan membaiki perangkap kelodak bagi mengawal aliran air permukaan.
Selain itu, katanya, DBKL juga telah menubuhkan pusat kawalan bagi menyelaras operasi di lokasi dengan anggota JBPM berada dalam keadaan siap siaga untuk membantu operasi kecemasan sekiranya diperlukan.
Beliau berkata Datuk Bandar telah mengarahkan semua pihak terlibat untuk menghadiri mesyuarat tergempar bagi menilai semula pelan mitigasi dan langkah-langkah yang perlu diambil oleh kontraktor untuk memasti kejadian tidak berulang.
"Beliau (Fadlun) juga memutuskan semua kerja pembangunan cerun di sekitar Taman Persekutuan Bukit Kiara dikaji semula. Satu garis panduan pembangunan kerja tanah secara berfasa dan terkawal akan diperkenalkan di kawasan tersebut,” katanya.
Hannah menegaskan DBKL akan terus memperketatkan kawal selia kerja tanah di kawasan cerun manakala kerja tersebut tidak lagi dibenarkan dilaksanakan secara menyeluruh tanpa kawalan sebaliknya mesti dilaksanakan secara berfasa dan terkawal.
"Saya juga menggesa JKR dan JLN untuk mengambil langkah mitigasi dengan segera bagi mengelakkan kejadian berulang. Keselamatan awam mesti menjadi keutamaan dan semua pihak yang bertanggungjawab perlu bertindak dengan segera serta penuh komitmen,” katanya.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan hari ini berkata JKR telah diarahkan untuk menjalankan siasatan teknikal terperinci bagi menentukan punca sebenar kejadian banjir yang menyebabkan runtuhan tembok penahan berhampiran Fasa 1B di Jalan Abang Haji Openg di Taman Tun Dr Ismail.
Semasa melawat tempat kejadian hari ini, Hannah berkata kerja pembaikan di lokasi runtuhan tembok penahan itu dijangka mengambil masa dua hari untuk diselesaikan.
"Kita kena memastikan kontraktor terus melakukan kerja pembaikan dengan segera dan memastikan perkara ini tidak berulang lagi.
"Saya telah meminta supaya JKR pantau sentiasa kerana ini melibatkan kerja slope (cerun) dan DBKL juga Datuk Bandar telah mengarahkan semalam untuk review (kaji semula) semua kerja cerun yang melibatkan Bukit Kiara," katanya.
Hannah berkata DBKL turut menggerakkan jentera tambahan dan Alam Flora Sdn Bhd bagi menggiatkan kerja pembersihan termasuk kawasan sekolah yang terletak berhampiran.
Berdasarkan laporan awal, kejadian itu berlaku susulan hujan lebat antara 3.30 petang hingga 5.30 petang semalam yang menyebabkan limpahan air dari tapak projek berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail, Abdul Jabar Ahmad Junid berkata limpahan air dari tapak projek semalam merupakan kejadian paling teruk yang pernah menjejaskan kediaman penduduk di kawasan itu.
"Kali ini memang serius sebab air bukan sahaja melimpah ke jalan raya, malah sudah mula masuk ke dalam kawasan parkir rumah penduduk dan memenuhi longkang di bahagian belakang rumah," katanya.
Abdul Jabar berkata penduduk kini bekerjasama dengan pejabat Ahli Parlimen dan pihak berkuasa bagi menyediakan takungan air tambahan sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi cuaca hujan sepanjang minggu ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial