DUNIA > BERITA

CHINA SERU SINERGI GERAK PELAKSANAAN "PENYELESAIAN DUA NEGARA"

18/07/2024 03:54 PM

NEW YORK, 18 Julai (Bernama-CMG) -- Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Fu Cong menekankan bahawa formula "penyelesaian dua negara" adalah satu-satunya jalan keluar yang boleh dilaksanakan bagi merungkai isu Palestin-Israel.

Penekanan itu dibuat beliau ketika berucap dalam sesi debat terbuka Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai isu Palestin-Israel di sini, pada Rabu.

Fu berkata China teguh mendukung perjuangan Palestin untuk menubuhkan negara merdeka sambil menegaskan kepentingan menghormati kehendak rakyat Palestin dalam perbincangan mengenai tadbir urus pascaperang.

Beliau menyeru supaya persidangan damai antarabangsa yang berskala lebih besar, lebih berwibawa dan lebih efektif dianjurkan untuk menggubal jadual waktu dan peta jalan konkrit bagi pelaksanaan formula "penyelesaian dua negara".

Fu berkata gencatan senjata serta-merta dan berkekalan merupakan prasyarat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa mereka yang tidak berdosa. 

China mendesak Israel segera menghentikan semua operasi ketenteraan di Gaza, menarik balik sekatan ke atas Gaza dan membuka semua lintasan darat sekali gus memastikan penghantaran dan pengedaran bekalan kemanusiaan dijalankan dengan cepat, selamat dan teratur.

Beliau menambah China akan terus berusaha bersama pihak terbabit ke arah menamatkan pertempuran dan meredakan malapetaka kemanusiaan di Gaza serta menggerakkan pelaksanaan "penyelesaian dua negara".

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan