DUNIA > BERITA

MALNUTRISI: ANCAMAN KEPADA WANITA HAMIL, BAYI BARU LAHIR DI GAZA

22/07/2024 11:41 AM

TEHRAN, 22 Julai (Bernama-IRNA) -- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai kesan malnutrisi terhadap wanita hamil dan bayi baharu lahir di Gaza yang diserang Israel.

Menurut Agensi Berita Republik Islam (IRNA) yang memetik media Palestin pada Ahad malam, Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) menerusi hantarannya di akaun media sosial X dalam Bahasa Arab bahawa “malnutrisi di Gaza menimbulkan bahaya besar kepada wanita hamil dan bayi baru lahir, di tengah-tengah peningkatan kes lahir mati dan kanak-kanak mempunyai berat badan rendah yang mengalami kekurusan dan pertumbuhan terbantut.”

“Kelahiran bayi yang mempunyai berat badan rendah menjadi semakin biasa di Gaza,” katanya, sambil menambah bahawa ramai kanak-kanak tidak membesar dengan baik akibat malnutrisi yang dialami oleh wanita hamil dan bayi baru lahir.

Pejabat media kerajaan di Gaza sebelum ini melaporkan bahawa 34 kanak-kanak mati akibat kelaparan, manakala 3,500 kanak-kanak berisiko mati akibat malnutrisi dan kebuluran, lapor IRNA.

Sejak Gaza diserang, rakyat Palestin dan kumpulan bantuan berulang kali mengatakan bahawa rejim Zionis telah menggunakan kebuluran sebagai alat peperangan.

Tentera Israel terus menghalang konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza walaupun penduduk di sana menghadapi ancaman kebuluran.

-- BERNAMA-IRNA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan