DUNIA > BERITA

PENYERTAAN MALAYSIA KE AMM DI LAOS PENTING SEBAGAI PERSEDIAAN PENGERUSI ASEAN 2025

24/07/2024 12:32 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

VIENTIANE, 24 Julai (Bernama) -- Penyertaan Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-57 (AMM) dan mesyuarat berkaitan yang sedang berlangsung di Laos adalah penting sebagai persediaan Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN pada tahun hadapan, kata Duta Besar Malaysia ke Laos Edi Irwan Mahmud.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mengetuai delegasi Malaysia ke AMM dan beberapa mesyuarat berkaitan di Vientiane dari 24 hingga 27 Julai.

Edi Irwan berpendapat Malaysia perlu mencontohi komitmen dan keupayaan Laos dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini meskipun berdepan kekangan ekonomi, agar Malaysia dapat menjadi Pengerusi ASEAN yang lebih cemerlang pada tahun hadapan.

"Walaupun berlaku kekangan dalam aspek ekonomi, Vientiane dengan bantuan negara-negara anggota dan dialog, mampu menjadi pengerusi yang berwibawa setakat ini,” katanya kepada media Malaysia yang membuat liputan AMM dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di Vientiane.

Mohamad pada Rabu dijadual menghadiri mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), Mesyuarat Suamuka bersama wakil-wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) dan Pasca Persidangan Menteri Luar ASEAN (PMC) dengan 11 Negara Rakan Dialog secara berasingan iaitu Australia, China, Kanada, Kesatuan Eropah, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Menteri itu juga akan menyertai perundingan tidak rasmi dengan Pengerusi ASEAN sebelum, kini dan yang akan datang mengenai pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (Informal Consultation (current, previous and incoming Chairs of ASEAN) on the implementation of Five-Point Consensus) pada hari yang sama.

Di samping itu, Edi Irwan berkata penyertaan Malaysia ke AMM ke-57 dan mesyuarat berkaitan di Laos mencerminkan komitmen Malaysia dalam mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di Asia Tenggara di tengah-tengah ketidaktentuan keselamatan dan sosio-ekonomi.

Beliau berkata Laos telah melakukan yang terbaik dalam memikul tugas sebagai Pengerusi ASEAN 2024 dan negara itu juga kali ini kelihatan lebih bersedia memandangkan berpengalaman menjadi pengerusi ASEAN.

 Laos pernah mempengerusikan ASEAN pada 2016 dan 2004. 

“Setakat ini tujuh bulan sebagai pengerusi Asean, Laos diperhatikan memainkan peranan yang penting walaupun terdapat kekangan daripada segi ekonomi.

"Dengan bantuan kerajaan negara-negara ASEAN dan rakan dialog, mereka mampu melaksanakan sesuatu yang memberangsangkan," katanya.

Mohamad dan isteri Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin juga akan bertemu diaspora Malaysia pada satu majlis ramah mesra pada sebelah petang Rabu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan