DUNIA > BERITA

JAMES CLEVERLY UMUM CALONKAN DIRI GANTI SUNAK SEBAGAI KETUA KONSERVATIF

24/07/2024 03:59 PM

LONDON, 24 Julai (Bernama-PA Media/dpa) -- James Cleverly menjadi orang pertama mengisytiharkan pencalonannya bagi menggantikan bekas Perdana Menteri United Kingdom Rishi Sunak sebagai ketua Parti Konservatif pada Rabu.

Dalam ucapannya pada Selasa, Cleverly berkata beliau mampu menyatukan Parti Konservatif dan mengalahkan Keir Starmer, menurut laporan PA Media/dpa.

Dalam hantaran di media sosial, Cleverly menyuarakan hasratnya untuk mengembalikan keyakinan rakyat Britain terhadap Konservatif sebagai sebuah parti dan membangunkan semula reputasi parti itu.

Sebagai pembangkang, Cleverly menekankan keperluan untuk bersatu dan berdisiplin dalam memantau Parti Buruh dan janji-janji mereka.

Sementara itu, bekas Setiausaha Dalam Negeri, Suella Braverman dijangka melancarkan usaha untuk mencalonkan diri sebagai ketua parti.

Braverman menyatakan dalam satu program radio bahawa "politik identiti menjadi tidak terkawal" di bawah Sunak dan bahawa parti itu perlu tegas dalam isu imigresen, cukai, keselamatan dan nilai-nilai nasional.

Calon-calon lain yang berpotensi termasuk Kemi Badenoch, Mel Stride, Dame Priti Patel, Tom Tugendhat dan Robert Jenrick.

Pemimpin baharu akan dipilih pada 2 Nov menerusi undian dalam talian dan keputusan akan diumumkan pada hari yang sama.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan