DUNIA > BERITA

Dua Rakyat Malaysia Ditahan Cuba Seludup Dadah Bernilai RM3.7 Juta Di Maldives

29/07/2024 11:01 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 29 Julai (Bernama) -- Dua warga Malaysia ditahan ketika cuba menyeludup dadah bernilai kira-kira RM3.7 juta ke Maldives.

Menurut polis Maldives, pegawai Kastam negara itu menemukan 15 kilogram (kg) ganja di dalam bagasi seorang warga Malaysia berusia 44 tahun yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Velana dengan penerbangan Emirates EK656 dari Dubai pada pagi Sabtu.

Superintendan polis Mohamed Afzal berkata ganja yang dirampas itu dianggarkan bernilai 12.3 juta rufiyaa Maldivian (RM3.7 juta) dan ujian awal mengesahkan bahan itu adalah ganja.

"Berikutan penemuan ini, Bahagian Penguatkuasaan Dadah kami memulakan operasi penghantaran terkawal. Operasi ini membawa kepada penahanan seorang lagi suspek, seorang lelaki warga Malaysia berusia 41 tahun, pada malam 28 Julai," menurut polis dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama lima hari.

"Siasatan kami sedang berjalan, dan kami bekerjasama rapat dengan rakan penguatkuasa undang-undang antarabangsa untuk mengumpul maklumat tambahan," kata ketua inspektor Ahmed Waheed.

Siasatan menunjukkan kemungkinan kaitan suspek dengan individu dari empat negara berbeza yang merupakan sebahagian daripada rangkaian pengedaran dadah antarabangsa.

Rampasan ganja itu adalah yang terbesar di Maldives tahun ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan