DUNIA > BERITA

Pemenang Emas Olimpik Kongsi Inspirasi Di Sidang Kemuncak Pembangunan Belia Hong Kong

10/08/2024 11:19 PM

Oleh Syed Iylia Hariz

HONG KONG, 10 Ogos (Bernama) -- Sidang Kemuncak Pembangunan Belia (Youth Development Summit) di sini hari ini menampilkan ratu lawan pedang Hong Kong, Vivian Kong Man-wai, yang merangkul emas dalam acara Epee Individu Wanita pada Sukan Olimpik Paris 2024 baru-baru ini.

Kong berkongsi pengalaman dan pandangannya tentang memberi inspirasi dan memperkasakan belia menerusi kuasa transformatif pemikiran positif.

Atlet berusia 30 tahun itu yang kini menduduki takhta pemain nombor satu dunia, menghuraikan bagaimana belia menumpukan rasa gementarnya kepada latihan intensif untuk meningkatkan keyakinannya.

“Setiap kali saya gementar, saya akan tumpukan seluruh tenaga itu kepada latihan. Lebih kuat rasa gementar, lebih banyak saya berlatih, dan itu memberi saya keyakinan untuk mempamerkan aksi terbaik di Olimpik.

“Saya belajar untuk tidak takut atau risau mengenai hasilnya,” katanya pada sesi ketiga sidang kemuncak itu bertajuk “Memupuk Pemikiran Positif Dalam Kalangan Orang Muda untuk Masa Depan Lebih Cerah.”

Hampir dua dekad berkecimpung dalam dunia lawan pedang, Kong mengecap kejayaan di Paris meskipun baru sahaja ditimpa kecederaan, termasuk dua kecederaan ligamen.

Susulan pencapaiannya di Olimpik itu, beliau mengumumkan persaraannya daripada lawan pedang profesional dan merancang untuk memulakan kerjaya baharu sambil mengusahakan penubuhan badan kebajikannya sendiri bagi membantu kanak-kanak menceburi bidang sukan. 

Bertemakan “Menuju Masa Depan Baharu” (Set Sail for New Horizons) sidang kemuncak itu merupakan platform untuk keterlibatan anak muda, menarik lebih 500 peserta antarabangsa dari China, Singapura, Jepun, Laos, Filipina, Indonesia, Thailand dan Malaysia.

Ketua Eksekutif Kawasan Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) John Lee Ka-Chiu, yang merasmikan sidang, menekankan peranan belia dalam membentuk masa depan dan menggariskan komitmen kerajaan untuk membina generasi baharu dengan perspektif global dan penetapan minda positif menerusi inisiatif seperti Kerangka Pembangunan Belia.

Dihadiri lebih 2,400 belia dari seluruh dunia, sidang kemuncak itu menyediakan peluang berharga untuk pertukaran ilmu dan jalinan budaya, mengukuhkan kedudukan Hong Kong sebagai hab pembangunan belia dan inovasi.  

Malaysia diwakili Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli yang menerusi ucaptamanya mengetengahkan belia sebagai tulang belakang masyarakat dan pemangkin kemajuan masa depan.

Beliau menekankan kepentingan memperkasakan golongan itu dengan ‘alat’, peluang dan penetapan minda yang diperlukan untuk berjaya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan