DUNIA > BERITA

Seychelles Hargai Bantuan Kapal Hospital "Peace Ark", Kata Presiden Ramkalawan

19/08/2024 02:05 PM

BEIJING, 19 Ogos (Bernama-CMG) -- Seychelles mengalu-alukan kehadiran kapal hospital "Peace Ark" milik Tentera Laut China untuk menyediakan bantuan perubatan kepada rakyat tempatan, kata Presiden Seychelles Wavel Ramkalawan.              

Kapal itu difahamkan telah memberikan perkhidmatan diagnosis dan rawatan kepada lebih 4,000 rakyat Seychelles semasa lawatan kira-kira seminggu ke negara berkenaan bulan lepas.

“Ramai penduduk tempatan menerima cadangan diagnosis daripada ahli perubatan China, dikenal pasti punca penyakit, malah ada sesetengah pesakit telah menjalani pembedahan,” kata Ramkalawan dalam temu bual bersama wartawan Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.

Ketika diminta mengulas mengenai Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), Presiden Seychelles menganggap ia sebagai satu inisiatif yang baik.

Menurut beliau, sebagai negara anggota Seychelles telah memperoleh banyak manfaat daripada BRI.

“China tidak pernah ‘berlagak’ sebagai negara besar dengan memaksakan kehendaknya ke atas kami sebagai negara paling kecil di Afrika, sebaliknya menjalinkan kerjasama saling menghormati.

“Dalam pergaulan dengan China, kami mengadakan dialog dan komunikasi dengan duduk bersama,” kata Ramkalawan.

Beliau melihat kerjasama dalam BRI mempunyai masa depan cerah dan berterusan, dengan semua pihak bekerjasama erat.

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan