DUNIA > BERITA

Pemenang Pingat Menembak Olimpik Sain Kontrak Dengan Agensi Bakat

19/08/2024 05:58 PM

SEOUL, 19 Ogos (Bernama-Yonhap) -- Kim Ye-ji, pemenang pingat perak menembak Olimpik yang tular semasa Sukan Olimpik Musim Panas 2024 di Paris, menandatangani kontrak dengan agensi bakat tempatan, lapor Agensi Berita Yonhap.

Plfil mengumumkan pada Isnin bahawa ia akan mewakili penembak berusia 31 tahun itu, yang memenangi pingat perak dalam acara air pistol 10 meter wanita di temasya Sukan Olimpik Paris tetapi menjadi sensasi media sosial dengan prestasinya daripada pertandingan berbeza.

“Dengan pengalaman kami dalam menguruskan pelakon dan penghibur, kami akan menyokong aktiviti Kim Ye-ji di dalam dan luar negara, memastikan beliau akan bersinar cerah di pelbagai pentas," kata Plfil dalam satu kenyataan.

Video Kim memecahkan rekod dunia 25 meter pistol dalam Kejuaraan Dunia di Baku pada Mei, tular di X selepas beliau memenangi pingat Olimpiknya. Dalam klip itu, Kim mendapat perhatian kerana kekal tenang dan tidak terganggu walaupun selepas mencipta rekod, malah pemilik X, Elon Musk, turut memberikan komen: "Dia patut berlakon dalam filem aksi. Tak perlu berlakon!"

Plfil berkata mereka akan memanfaatkan populariti Kim melalui kandungan bentuk pendek dan meningkatkan lagi kebolehlihatannya di pasaran antarabangsa.

Agensi itu menambah bahawa Kim mungkin akan memainkan peranan dalam filem atau siri TV untuk membantu mempromosikan sukan menembak.

Semasa sidang media bersama pemenang pingat Korea Selatan di Paris pada 4 Ogos, Kim berkata dia tidak pernah memikirkan untuk muncul dalam mana-mana filem dan beliau hanya akan fokus pada kemahirannya sebagai penembak.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan