DUNIA > BERITA

Perkhidmatan Kereta Api Bangkok-Padang Besar-Butterworth Akan Disambung Semula

21/08/2024 12:54 PM

BANGKOK, 21 Ogos (Bernama) -- Malaysia dan Thailand bersetuju untuk menyambung semula perkhidmatan kereta api terus antara Bangkok, Padang Besar dan Butterworth, menurut State Railway of Thailand (SRT).

Ketua Pejabat Gabenor SRT, Ekkarat Sriarayanphong berkata rancangan itu dipersetujui secara prinsip semasa Persidangan Bersama KTMB-SRT ke-42 yang diadakan minggu lalu di Kota Kinabalu, Sabah.

Sebelum ini, SRT membatalkan perkhidmatan ekspres harian antara Bangkok dan Butterworth pada 2016, mengehadkan operasi ke Padang Besar di sempadan Malaysia-Thailand.

Susulan mesyuarat baru-baru ini, Ekkarat berkata bahawa satu jawatankuasa bersama akan ditubuhkan untuk mempertimbangkan pembukaan semula laluan kereta api dari Bangkok Central Station–Padang Besar ke Stesen Butterworth.

"Fasa awal akan melibatkan percubaan operasi selama enam bulan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ekkarat berkata, pemulihan perkhidmatan kereta api itu adalah sebahagian daripada rancangan untuk meluaskan kerjasama dalam menyediakan perkhidmatan kereta api yang menghubungkan Thailand dan Malaysia, memudahkan perjalanan orang awam dan pengangkutan barangan merentasi sempadan dengan lebih lancar.

"Perkhidmatan kereta api ini akan memberi manfaat dalam mempromosikan pelancongan dan meningkatkan pendapatan negara," katanya.

SRT dan KTMB turut bersetuju mempromosikan pelancongan dengan memperluaskan laluan kereta api persiaran percutian Malaysia, My Sawasdee yang kini berakhir di Hat Yai untuk dilanjutkan sehingga Surat Thani pada tarikh yang akan dibincangkan kemudian.

Pada masa ini, My Sawasdee yang membawa penumpang dari Kuala Lumpur beroperasi pada hari cuti dan sangat popular dalam kalangan pelancong Malaysia.

Mesyuarat di Kota Kinabalu itu juga membincangkan kerjasama dalam pengangkutan kargo, dengan SRT menyatakan kesediaan untuk menyokong pengangkutan kargo merentasi sempadan seperti laluan Padang Besar-Hat Yai Junction.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan