DUNIA > BERITA

Putin Umum Pelan Rangkaian Kereta Api Antarabangsa

04/08/2024 02:33 PM

MOSCOW, 4 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Ahad mengumumkan rancangan untuk membangunkan koridor pengangkutan antarabangsa, termasuk penubuhan rangkaian sistem kereta api tanpa halangan, lapor Xinhua.

“Kami berhasrat untuk mewujudkan komunikasi kereta api tanpa halangan dari Laut Baltik dan Barents hingga ke pantai Teluk Parsi dan Lautan Hindi.

“Ini adalah tugas besar dan saya yakin dengan kepakaran, pengalaman dan komitmen anda terhadap kepentingan negara, kita akan mencapainya,” Putin berucap menerusi video sempena Hari Pekerja Kereta api Rusia.

Beliau juga menggariskan projek utama, termasuk pembinaan kereta api berkelajuan tinggi yang bersepadu dengan Hab Pengangkutan Pusat di Moscow, penciptaan koridor logistik antarabangsa dan peningkatan laluan pengangkutan dari Azov ke Laut Hitam.

“Kita perlu mempercepatkan pengembangan infrastruktur kereta api Rusia dengan peningkatan teknologi canggih, menggunakan inovasi terkini.

“Pendekatan kita bukan sahaja memenuhi keperluan semasa tetapi juga bersedia untuk permintaan masa depan, memastikan kemajuan untuk dekad yang akan datang," katanya.

Presiden itu menekankan kepentingan memodenkan lagi sistem kereta api Timur Rusia, khususnya Baikal-Amur, Kereta api Trans-Siberia dan Kereta api Lintang Utara sepanjang 700 kilometer di daerah Autonomi Yamalo-Nenets yang menghubungkan ke pelabuhan Artik.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan