DUNIA > BERITA

Kapal Layar Bayesian: Angka Kematian Meningkat Kepada Enam

22/08/2024 11:55 AM

ANKARA, 22 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Angka kematian tragedi kapal layar karam di Itali pada Isnin meningkat kepada enam selepas anggota penyelamat menemukan lima lagi mangsa pada Rabu, Agensi Andolu memetik laporan media tempatan.

Robot pencarian bawah air pasukan pengawal pantai Itali dan penyelam dari jabatan bomba Itali menemukan dua mayat iaitu usahawan teknologi yang juga pemilik kapal layar itu, Mike Lynch, 59, serta anak perempuannya yang berusia 18 tahun.

Terdahulu pada hari sama, pasukan penyelamat menemukan tiga lagi mayat.

Proses pengecaman dan bedah siasat akan dijalankan, manakala pencarian seorang lagi mangsa yang hilang masih diteruskan, menurut laporan media tempatan

Kapal layar mewah sepanjang 56 meter (184 kaki) dikenali sebagai “Bayesian” terbalik pada pagi Isnin akibat hujan lebat dan ribut, kira-kira 20 kilometer (12.4 batu) di timur Palermo di selatan Itali.

Dalam kejadian itu, 15 orang berjaya diselamatkan termasuk isteri Lynch, Angela Bacares, manakala enam dilaporkan hilang.

Antara yang terkorban adalah cef kapal layar, Recaldo Thomas, yang mayatnya ditemui beberapa jam selepas kapal itu karam.

Pada Rabu, media tempatan melaporkan bahawa dua lagi mayat ditemui, namun identiti mereka belum disahkan.

Individu di atas kapal layar itu berasal dari pelbagai negara, termasuk United Kingdom, New Zealand, Sri Lanka, Perancis, Ireland, Amerika Syarikat, dan Kanada.

-- BERNAMA-ANADOLU

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan