DUNIA > BERITA

Instagram Perkenal ‘Akaun Remaja’

18/09/2024 11:48 AM

ISTANBUL, 18 Sept (Bernama-Anadolu) -- Instagram kini memperkenalkan ‘Akaun Remaja’ baharu yang secara automatik melindungi pengguna remaja dengan pelbagai ciri keselamatan, menurut syarikat induknya Meta Platforms, dalam satu kenyataan pada Selasa.

Agensi Anadolu melaporkan bahawa langkah ini akan mengehadkan individu yang boleh menghubungi remaja, menentukan kandungan yang dilihat serta memastikan masa yang mereka habiskan di platform ini lebih berkualiti.

Langkah ini juga bertujuan memberi ketenangan kepada ibu bapa bahawa anak mereka menggunakan platform itu dengan selamat.

"Kami memahami keperluan ibu bapa untuk berasa yakin bahawa anak-anak mereka boleh menggunakan media sosial untuk berinteraksi dengan rakan-rakan dan meneroka minat mereka tanpa perlu bimbang tentang keselamatan atau kandungan yang tidak sesuai.

"Oleh itu, kami memperkenalkan Akaun Remaja, direka untuk menyokong ibu bapa dan memberi jaminan bahawa anak-anak mereka dilindungi dengan ciri keselamatan yang tepat," menurut kenyataan itu.

Di samping itu, remaja juga akan mempunyai akses kepada ciri baharu yang membolehkan mereka memilih topik yang mereka mahu lihat.

"Remaja di bawah umur 16 tahun perlu mendapatkan kebenaran ibu bapa untuk membuat sebarang perubahan kepada perlindungan terbina ini," menurut Meta.

Pengguna remaja akan diletakkan dalam tetapan mesej paling ketat iaitu hanya individu yang mereka ikuti atau yang sudah terhubung dengan mereka boleh menghantar mesej kepada mereka.

Tetapan keselamatan ini turut mengehadkan kandungan sensitif seperti video pertengkaran atau kandungan yang mempromosikan prosedur kosmetik, daripada muncul dalam bahagian Explore dan Reels yang boleh diakses oleh remaja.

"Kami juga akan secara automatik mengaktifkan versi paling ketat ciri anti-buli kami 'Hidden Words’, yang akan menapis kata-kata dan frasa yang menyinggung daripada komen dan permintaan DM remaja," menurut kenyataan itu.

Langkah-langkah baharu ini termasuk ‘peringatan had masa’ dengan remaja akan menerima pemberitahuan supaya meninggalkan aplikasi selepas 60 minit penggunaan harian.

Selain itu, Mod Tidur akan diaktifkan secara automatik antara 10.00 malam hingga 7.00 pagi, yang akan mematikan semua pemberitahuan dan menghantar balasan automatik kepada mesej yang diterima sepanjang waktu itu.

"Memandangkan ibu bapa hari ini berdepan dengan cabaran dan manfaat penggunaan internet dan media digital oleh remaja, kami memuji usaha Meta melancarkan Akaun Remaja Instagram ini," kata Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kebangsaan (PTA) Yvonne Johnson dalam kenyataan itu.

"Dengan ciri privasi tertentu dihidupkan secara automatik, Meta menunjukkan komitmen untuk membantu ibu bapa memastikan anak mereka mempunyai pengalaman yang lebih selamat dan sesuai dengan usia mereka di platform ini," katanya.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan