DUNIA > BERITA

Pemimpin Baharu Bawa Tenaga Segar Ke Sidang Kemuncak ASEAN, Sidang Berkaitan

09/10/2024 02:32 PM

Daripada Rosmalis Anuar

VIENTIANE, 9 Okt (Bernama) -- Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan dibuka secara rasmi di sini pagi Rabu, menandakan perkembangan yang menarik apabila beberapa muka baharu menyertai perhimpunan serantau yang penting itu.

Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra membuat penampilan sulung mereka dalam sidang kemuncak itu, mengambil peranan yang akan membentuk trajektori rantau berkenaan.

Wong, 51, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri keempat Singapura pada 15 Mei 2024, menggantikan Lee Hsien Loong, 72, yang memimpin negara itu selama hampir 20 tahun.

Sementara itu, Paetongtarn, 37, perdana menteri termuda Thailand, menerima perkenan diraja secraa bertulis daripada Raja Maha Vajiralongkorn pada 18 Ogos 2024.

Di pihak lain, Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi)  tidak menghadiri sidang kemuncak itu kerana penggantinya Prabowo Subianto bersiap sedia untuk memegang jawatan pada penghujung bulan ini. Naib Presiden Ma’ruf Amin mewakili Indonesia menggantikannya.

Delegasi Malaysia ke sidang kemuncak itu diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang tiba di ibu kota Laos pada Selasa malam.

Pemimpin lain dari ASEAN termasuk Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone; Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos, Jr.; Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet.

Menurut laporan media, Perdana Menteri Jepun yang baru dilantik, Ishiba Shigeru juga dijangka menghadiri sidang kemuncak itu. Ishiba memegang jawatan itu pada 1 Oktober.

Pemimpin lain daripada Rakan Dialog ASEAN dijangka menghadiri sidang kemuncak itu termasuk Perdana Menteri China Li Qiang dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken.

Semasa majlis penutupan sidang kemuncak itu, Laos sebagai Pengerusi ASEAN semasa, secara simbolik akan menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia.

Menurut Wisma Putra, Perdana Menteri Malaysia dijadual menyampaikan ucapan ringkas yang menggariskan visi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada majlis itu.

Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Jan 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan