DUNIA > BERITA

Indonesia Tubuh Dua Zon Ekonomi Khas Baharu Untuk Tingkatkan Pendidikan Dan Penjagaan Kesihatan

09/10/2024 09:31 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 9 Okt (Bernama) -- Presiden Indonesia, Joko Widodo yang akan tamat tempoh penggal jawatannya, telah menubuhkan dua Zon Ekonomi Khas (SEZ) baharu di Banten dan Batam bagi memperkukuh sektor pendidikan dan penjagaan kesihatan negara.

Bermula 7 Okt, Zon Ekonomi Khas Pendidikan, Teknologi dan Kesihatan Antarabangsa di Tangerang, Banten, serta Zon Ekonomi Khas Pelancongan Kesihatan Antarabangsa di Batam mula beroperasi dan dijangka memberikan impak yang ketara terhadap ekonomi.

“Setiap SEZ mempunyai fokus pembangunan khusus dan dijangka memberi kesan yang besar kepada ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan, serta menarik pelaburan,” kata Setiausaha Agung Majlis SEZ Nasional, Rizal Edwin Manansang dalam satu kenyataan.

Zon SEZ Banten meliputi kawasan seluas 59.68 hektar dengan sasaran pelaburan sebanyak 18.8 trilion rupiah (kira-kira US$1.2 bilion), bertujuan mewujudkan sekitar 13,446 pekerjaan serta menampilkan kemudahan pendidikan antarabangsa, termasuk Universiti Monash, sambil memberi tumpuan kepada teknologi digital dan perkhidmatan kesihatan bersepadu.

Zon Ekonomi Khas Pelancongan Kesihatan Antarabangsa di Batam pula menyasarkan pelaburan 6.91 trilion rupiah (kira-kira US$442.3 juta), dan dijangka mewujudkan lebih 105,000 pekerjaan dengan membangunkan perkhidmatan kesihatan bertaraf antarabangsa serta mempertingkatkan pelancongan perubatan, yang dijadualkan beroperasi sepenuhnya menjelang 2026.

“Dengan kerjasama kumpulan penjagaan kesihatan multinasional India, Apollo Hospitals, SEZ ini akan menyediakan perkhidmatan kesihatan bertaraf antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukan Indonesia sebagai destinasi pelancongan kesihatan yang berdaya saing,” kata Rizal.

Dengan penambahan dua SEZ ini, jumlah keseluruhan yang ditubuhkan oleh Presiden kini meningkat kepada 24. 

Daripada 22 SEZ sedia ada, ia merangkumi 12 zon perindustrian, tujuh zon pelancongan, dua zon digital dan satu zon penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), dikenali sebagai Batam Aero Technic.

Sejak penubuhannya, 22 SEZ ini telah mencatatkan pelaburan berjumlah  205.2 trilion rupiah  (kira-kira US$13.14 bilion) dan telah menjana peluang pekerjaan untuk 132,227 orang di seluruh 368 entiti perniagaan yang aktif.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan