BERITA TERGEMPAR   Flood preparation: 459 PPS identified in Kelantan, capable of accommodating more than 100,000 victims - MB | 
 DUNIA > BERITA

Sidang Kemuncak ASEAN: Anwar Teruskan Dialog Serantau Pada Hari Kedua

10/10/2024 10:33 AM

Oleh Kenny Teng

VIENTIANE, 10 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan penglibatan beliau pada hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Berkaitan, bermula dengan Sidang Kemuncak ASEAN-China hari ini.

Anwar, bersama-sama dengan pemimpin sembilan negara anggota ASEAN lain dijangka bertemu  Perdana Menteri China, Li Qiang di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di Vientiane.

Beliau dijadual menyampaikan ucapan sebelum menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan ke-25, sempena ulang tahun ke-35 Hubungan Dialog ASEAN-Korea Selatan.

Selain itu, Anwar akan menerima kunjungan hormat daripada pengasas dan Pengerusi Eksekutif Forum Ekonomi Dunia (WEF), Prof Klaus Schwab di NCC.

Anwar dijangka turut mengambil bahagian dalam beberapa mesyuarat peringkat tinggi lain, termasuk Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun, Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak ASEAN-Australia, Sidang Kemuncak ASEAN-India, serta Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Kanada yang memberi tumpuan kepada peningkatan keterhubungan dan ketahanan ASEAN.

Di luar sidang ini, Perdana Menteri juga akan mengadakan beberapa mesyuarat dua hala termasuk perbincangan dengan Presiden Majlis Eropah yang bakal dilantik, Antonio Costa, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau, Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken dan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh.

Mengiringi Perdana Menteri pada persidangan ini ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Pada sebelah malam, Anwar bersama Mohamad Hasan dan Tengku Zafrul akan menghadiri Majlis Makan Malam Gala yang dianjurkan oleh Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone dan isterinya, Vandara Siphandone.

Sidang kemuncak akan berakhir pada 11 Okt, dengan Laos akan menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia pada majlis penutup.

Pada majlis penyerahan itu, Anwar dijadualkan menyampaikan ucapan yang menggariskan visi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada majlis itu dan Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Jan 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan