DUNIA > BERITA

Rakyat Malaysia Di Tehran Mendaki Untuk Perpaduan Sempena Hari Sukan Negara

12/10/2024 05:19 PM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Rakyat Malaysia di Tehran meraikan Hari Sukan Negara (HSN) tahun ini dengan sambutan yang unik, memulakan pendakian indah bagi mengukuhkan ikatan komuniti dan memupuk semangat kebersamaan.

Diaspora Malaysia bersama kakitangan kedutaan mendaki ke stesen kedua kompleks Tochal di Velenjak, utara Tehran, menempuh perjalanan pergi balik sejauh lapan kilometer yang mengagumkan pada Jumaat.

Kedutaan Malaysia di Tehran dalam satu kenyataan memaklumkan mendaki dipilih khusus untuk sambutan HSN tahun ini kerana ia mencerminkan hobi budaya bersama yang dikongsi antara rakyat Malaysia dan Iran.

“Program ini merupakan satu kejayaan yang memberangsangkan, dengan para pendaki bukan sahaja menakluki laluan itu tetapi juga mengukuhkan ikatan dalam kalangan komuniti Malaysia di Iran serta kakitangan Kedutaan,” menurut kenyataan itu.

Kedutaan Malaysia di Tehran berkata mendaki mempunyai tempat istimewa dalam masyarakat Iran, terutamanya di ibu negara Tehran di mana ia merupakan antara aktiviti riadah paling popular.

Kedutaan itu berkata Tochal, khususnya, adalah simbol pengembaraan luar yang menawarkan pemandangan menakjubkan dan suasana yang tenang daripada kesibukan bandar.

Menurut kedutaan, pihaknya berhasrat untuk menghayati tradisi Iran yang kaya itu sambil mempromosikan kecergasan fizikal, selaras dengan fokus nasional Malaysia untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif.

“Dengan menganjurkan acara mendaki, kedutaan bukan sahaja bertujuan untuk meraikan HSN Malaysia tetapi juga menghormati budaya tempatan di Iran, mencipta gabungan unik antara semangat rakyat Malaysia untuk sukan dan penghargaan Iran terhadap alam semula jadi yang telah lama wujud.

“Acara ini mempamerkan sinergi antara kedua-dua negara dan mencerminkan semangat persefahaman dan saling menghormati yang dikongsi oleh kedua-dua negara,” tambahnya.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Iran Khairi Omar menekankan kepentingan acara sebegini dalam memupuk semangat perpaduan dan kesejahteraan dalam kalangan rakyat Malaysia di luar negara.

“Kami berbangga melihat ramai peserta, termasuk kakitangan dan keluarga mereka, berkumpul dalam semangat Hari Sukan Negara. Acara mendaki ini adalah peringatan yang penting dan tepat pada masanya tentang kepentingan kesihatan, kerjasama berpasukan, dan mengekalkan hubungan komuniti yang kukuh walaupun ketika kami berjauhan dari tanah air,” katanya.

Beliau berkata kedutaan berharap untuk menganjurkan lebih banyak acara seumpama itu pada masa hadapan bukan sahaja untuk melibatkan komuniti Malaysia di Iran bagi mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif, tetapi juga menyelami warisan tempatan dan aspek sosiobudaya bagi mendekatkan rakyat Iran dan Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan