EKONOMI > BERITA

BURSA MALAYSIA SECURITIES TEGUR TOP BUILDERS CAPITAL, DENDA LAPAN PENGARAH

07/06/2024 09:46 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) telah menegur Top Builders Capital Bhd dan lapan pengarahnya secara terbuka kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities (LR Utama).

Dalam pada itu, Bursa Securities berkata lapan pengarah Top Builders telah dikenakan denda berjumlah RM405,750.

Syarikat itu ditegur secara terbuka kerana melanggar perenggan 9.23(1) dan 9.22(1) LR Utama kerana gagal mengeluarkan laporan tahunan termasuk penyata kewangan teraudit bersama-sama dengan laporan juruaudit dan pengarah bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022, pada atau sebelum 31 Oktober 2022.

“Laporan tahunan hanya dikeluarkan pada 29 Mei 2023, selepas penangguhan selama enam bulan dan 29 hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengawal selia bursa saham itu juga berkata syarikat itu gagal mengumumkan laporan suku tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 30 September 2022, pada atau sebelum 30 November 2022, laporannya hanya dikeluarkan pada 9 Jun 2023, selepas penangguhan selama enam bulan, sembilan hari.

Selain itu, ia berkata Top Builders gagal mengumumkan laporan suku tahunan untuk 31 Disember 2022 pada atau sebelum 28 Februari 2023 dan syarikat itu hanya mengeluarkan laporan pada 28 Jun 2023 selepas penangguhan selama tiga bulan, 28 hari.

Syarikat itu turut gagal mengumumkan laporan suku tahunan untuk 31 Mac , 2023, pada atau sebelum 31 Mei 2023, laporannya hanya dikeluarkan pada 28 Julai 2023, selepas kelewatan selama satu bulan, 28 hari.

“Walaupun Top Builders telah dinyahsenarai pada 4 Sept 2023, pelanggaran itu dilakukan semasa syarikat itu disenaraikan dalam Senarai Rasmi Bursa Malaysia Securities,” katanya.

Tiga pengarah yang telah melanggar perenggan 16.13(b) LR Utama kerana membenarkan Top Builders melakukan pelanggaran itu dan ditegur secara terbuka serta dikenakan penalti ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Datuk Loh Ming Choon (RM105,250), Naib Pengerusi Eksekutif Datuk Seri Sin Hock Min (RM105,250) dan Ketua Pegawai Eksekutif Woo Hai Shiang (RM72,000).

Selain itu, lima pengarah bebas bukan eksekutif yang dikenakan denda ialah Ng Mei Choo (RM29,600), Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria (RM42,100), Datuk Koh Mui Tee (RM14,000), Sin Yoke Gen (RM25,650) , dan Yan Sook Han (RM11,900).

“Bursa Securities memandang serius pelanggaran tersebut kerana penyerahan penyata kewangan yang tepat pada masanya dan sahih adalah salah satu kewajipan asas syarikat tersenarai dan sangat penting dalam memastikan pasaran yang adil dan teratur bagi sekuriti didagangkan di Bursa Malaysia Securities dan ia adalah perlu bagi membantu dalam keputusan pelaburan termaklum,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan