EKONOMI > BERITA

RAKUTEN TRADE SASAR 300,000 AKAUN AKTIF MENJELANG AKHIR TAHUN

19/06/2024 03:50 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Rakuten Trade Sdn Bhd menyasar mencapai 300,000 akaun aktif menjelang akhir tahun ini, disumbang sebahagian besarnya daripada perkhidmatan yang baru dilancarkannya, Raku-Invest.

Syarikat itu pada masa ini mempunyai lebih 280,000 akaun aktif melalui produknya iaitu akaun Cash Upfront, Contra Trading dan RakuMargin.

Ketua pengarah eksekutifnya Kazumasa Mise berkata Raku-Invest ialah versi setempat yang diilhamkan daripada kejayaan Tsumitate Investing yang ditawarkan oleh Rakuten Securities Inc (RSec) di Jepun yang melibatkan pelaburan sejumlah kecil wang secara kerap dari semasa ke semasa dan bukannya sekali gus.

Tsumitate Investing mencatatkan prestasi yang memberangsangkan di Jepun menarik minat pelabur muda yang baru bermula dan berharap dapat melakukan perkara yang sama di Malaysia, katanya.

“Ia adalah strategi yang bertujuan untuk mengurangkan kesan turun naik pasaran ke atas pelaburan yang mana pelabur boleh memulakan dagangan secara berulang dan automatik bagi saham Amerika Syarikat (AS).

“Pelabur boleh mula berdagang secara berulang dan automatik dalam saham AS, Resit Deposit Amerika (ADR), dan ETF daripada nilai serendah RM100 dan secara automatik, ianya akan terus membeli mengikut jadual yang telah dipilih terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita semasa pelancaran secara maya Raku-Invest, di sini, hari ini.

Mengenai perkembangan lain, Mise berkata Raku-Invest menumpukan kepada matlamat jangka panjang untuk membantu mengurangkan kesan turun naik pasaran dan risiko apabila anda melabur dalam jumlah besar pada masa yang kurang sesuai.

Beliau berkata perkhidmatan baharu itu adalah cara serba maju untuk rakyat Malaysia melabur, dan merupakan kaedah yang sangat bermanfaat bagi pedagang kali pertama yang ingin menceburi pasaran AS.

“Ia menyokong strategi pelaburan purata kos dolar, menggalakkan konsep pelaburan terkumpul untuk pelabur baharu,” katanya.

Mise berkata setakat 30 Mei 2024, hampir 20 peratus daripada semua pedagang ekuiti RSec AS berdagang melalui Tsumitate Investing, menunjukkan pertumbuhan bulanan hampir 5 peratus dengan lebih 12 peratus daripada mereka adalah pelabur AS kali pertama.

“Raku-Invest bersedia untuk memperkasakan rakyat Malaysia dengan instrumens dan pengetahuan yang diperlukan untuk membina kekayaan secara bijak dan selamat,” katanya. 

Pada masa pelancaran, lebih 1,200 saham AS akan boleh didagangkan untuk perkhidmatan Raku-Invest, dengan rancangan untuk pengembangan pada masa hadapan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan