EKONOMI > BERITA

KEDUDUKAN MALAYSIA DALAM RANKING DAYA SAING DUNIA IMD 2025 AKAN BERTAMBAH BAIK - TENGKU ZAFRUL

22/06/2024 02:13 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Kerajaan yakin kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia IMD 2025 akan bertambah baik berbanding 2024, dipacu oleh antaranya peningkatan eksport produk berteknologi tinggi.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata penurunan eksport berteknologi tinggi negara, yang mempengaruhi kedudukan Malaysia dalam senarai itu merupakan situasi jangka pendek dan skor tersebut dijangka meningkat bagi ranking 2025.

Ini susulan terdapat banyak pelaburan baharu daripada syarikat elektrik dan elektronik (E&E) sedia ada di Malaysia serta syarikat multinasional pada tahun ini, katanya.

“Kesemua (pelaburan) ini akan mula memberi kesan dalam (tempoh) 12 hingga 18 bulan akan datang dan akan menaikkan semula kedudukan kita,” katanya dalam hantaran di laman sosial.

Beliau berkata eksport berteknologi tinggi adalah produk dengan komponen penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang tinggi seperti dalam bidang aeroangkasa, komputer, farmaseutikal, instrumen saintifik, kimia dan mesin elektrik.

Tengku Zafrul berkata penurunan yang dialami bagi ranking 2024 berikutan penurunan eksport elektronik komunikasi adalah disebabkan penurunan permintaan global dan peningkatan persaingan global.

Contohnya, eksport berteknologi tinggi China dalam 10 bulan bagi 2023 susut 11.4 peratus tahun ke tahun kepada US$728.2 bilion berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, manakala Korea Selatan susut 28 peratus kepada US$110 bilion, dan Jepun merosot 10 peratus kepada US$76.9 bilion.

Dalam pada itu, beliau berkata unjuran peningkatan jualan semikonduktor global tahunan sebanyak 16 peratus pada 2024 dan 12.5 peratus pada 2025 akan memberi manfaat kepada Malaysia sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia.

“Apabila permintaan untuk semikonduktor naik, maka secara automatik eksport berteknologi tinggi negara juga akan naik,” jelas beliau.

Tengku Zafrul menambah pertumbuhan ekonomi yang stabil, kadar pengangguran yang terus berkurangan, serta inflasi yang terkawal akan meningkatkan kedudukan Malaysia pada masa akan datang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan