EKONOMI > BERITA

EKONOMI THAILAND BERKEMBANG PERLAHAN PADA MEI - BANK PUSAT

29/06/2024 10:16 PM

BANGKOK, 29 Jun (Bernama) -- Ekonomi Thailand berkembang pada kadar yang lebih perlahan pada Mei 2024 berbanding bulan sebelumnya, disebabkan penurunan dalam eksport, pengeluaran pembuatan dan pelaburan swasta, menurut Bank of Thailand.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, bank pusat itu menyatakan bahawa sektor pelancongan menunjukkan perkembangan positif dengan pertumbuhan berterusan berbanding bulan sebelumnya.

Penggunaan swasta juga meningkat sedikit, mencerminkan sentimen pengguna yang optimistik secara berhati-hati, kata kenyataan itu.

Ia berkata perbelanjaan kerajaan menyaksikan pertumbuhan tahun ke tahun yang ketara, didorong oleh pengeluaran belanjawan yang dipercepatkan, terutamanya untuk projek infrastruktur.

“Dari segi kestabilan ekonomi, inflasi keseluruhan meningkat daripada inflasi tenaga dan makanan mentah disebabkan kesan asas yang rendah daripada subsidi elektrik kerajaan tahun lepas, serta harga diesel yang lebih tinggi hasil daripada pemansuhan subsidi kerajaan secara beransur-ansur.

"Selain itu, harga daging dan sayur-sayuran meningkat disebabkan bekalan yang lebih rendah di pasaran," kata bank itu.

Inflasi teras juga meningkat sedikit daripada bulan sebelumnya.

Ia berkata akaun semasa mencatatkan lebihan, terutamanya daripada imbangan dagangan yang bertambah baik, walaupun akaun perkhidmatan, pendapatan dan pindahan mencatatkan defisit.

Sementara itu, pasaran buruh menunjukkan peningkatan, dengan peluang pekerjaan yang lebih tinggi dalam kedua-dua sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Melangkah ke hadapan, sektor pelancongan dan peningkatan perbelanjaan awam dijangka terus menyokong ekonomi.

Bagaimanapun, bank pusat itu menyatakan bahawa eksport dan pengeluaran perindustrian mungkin pulih secara perlahan, terutamanya dalam industri yang menghadapi tekanan struktur.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan