EKONOMI > BERITA

SYARIKAT TBB PEROLEH MANFAAT DARIPADA PEMANGKIN KONTRAK PADA SEPARUH KEDUA 2024 - HLIB

03/07/2024 03:50 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Syarikat yang fokus kepada tenaga boleh baharu (TBB) dijangka mendapat manfaat daripada pemangkin kontrak seperti Solar Skala Besar (LSS5) kelima Malaysia, pada separuh kedua tahun ini.

Hong Leong Investment Bank, dalam nota penyelidikannya berkata ini juga termasuk pemeteran tenaga bersih (NEM), program penjanaan tenaga rendah karbon (LCEG)/susunan penghantaran baharu yang dipertingkat (NEDA).

HLIB berkata selain daripada pemangkin kontrak, ia juga mengambil kira pelancaran akses pihak ketiga (TPA), peningkatan eksport dan persekitaran kos yang akomodatif.

Bank pelaburan itu berkata Malaysia yang menjadi destinasi pilihan bagi penempatan pusat data (DC) menghasilkan saluran paip 2.9 gigawatt (GW)  (tidak termasuk secara langsung) dengan 159 megawatt (MW) sedang dalam pembinaan.

“Kami percaya model TPA yang diperkenal oleh kerajaan adalah tepat pada masanya untuk memenuhi keperluan mengimbangi pelepasan pusat data (DC) yang sedang meningkat sambil mempercepatkan matlamat penyahkarbonan di bawah NETR.

"Mengikut perkiraan, kami mencadangkan bahawa dengan mengandaikan saluran paip DC semasa menjadi kenyataan sepenuhnya dan memenuhi keperluan mengimbangi pelepasan (elektrik), ini boleh diterjemahkan hampir bersamaan dengan kapasiti solar sebanyak 30-34GW," kata HLIB.

Satu inisiatif TBB, Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP) pula membolehkan pengguna korporat membeli tenaga solar secara maya daripada pemaju solar.

Selain itu, saluran paip jangka pendek untuk syarikat yang terlibat kelihatan meyakinkan, disokong oleh pelbagai program kuota seperti LSS5, NEM (400MW), dan LCEG/NEDA.

“Program ini adalah di atas program Tarif Galakan (FiT) yang sedang dijalankan dan meliputi sumber TBB yang meluas. Kami percaya bahawa kuota lama yang diberikan pada tahun-tahun sebelumnya boleh dibatalkan dan diberikan semula pada masa hadapan untuk mempercepatkan kemajuan, mungkin dari segi biotenaga untuk mempercepatkan kemajuan pelancaran.

“Tanpa mengambil kira lanjutan masa yang diberikan, Suruhanjaya Tenaga (EC) telah menetapkan projek CGPP memenuhi tarikh operasi komersial menjelang akhir 2025, dan kami menjangkakan semua pihak bersetuju dengan perjanjian itu,” kata HLIB.

Ia juga menjangkakan Solarvest Holdings Bhd mempunyai peluang besar dengan mengambil kira penglibatan aktifnya dalam 443.4 MW kuota kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang dianggarkan bernilai RM1 bilion.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan