EKONOMI > BERITA

PASARAN HARTANAH CATAT PERTUMBUHAN DIDORONG OLEH PENINGKATAN PEMBANGUNAN PERINDUSTRIAN

23/07/2024 05:01 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Pasaran hartanah mencatatkan pertumbuhan dalam tempoh beberapa tahun ini didorong oleh pembangunan perindustrian yang meningkat, menawarkan aliran pertumbuhan baharu kepada pemaju dan mengurangkan tekanan ke atas pembangunan kediaman, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).

Menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya, situasi itu sejak 2018 apabila bermulanya perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China. 

“Perang perdagangan dan ketegangan geopolitik yang meningkat menyebabkan pengeluar global memindahkan pangkalan mereka di negara-negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia. Langkah ini untuk menguruskan risiko rantaian bekalan.

“Malaysia, sebagai negara yang neutral dari segi geopolitik, mendapat manfaat daripada trend ini seperti yang dapat dilihat daripada jumlah pelaburan langsung asing (FDI) yang meningkat sejak 2021,” katanya.

Menurut HLIB Research, aliran meningkat jangka panjang untuk sektor ini turut didorong oleh desentralisasi pembangunan ekonomi dan pertambahan bandar peringkat dua serta nilai tanah yang meningkat.

Selama beberapa dekad, katanya pembangunan ekonomi Malaysia sebahagian besarnya tertumpu di Lembah Klang tetapi baru-baru ini, perindustrian dan pelaburan telah meluas sehingga ke Johor, Pulau Pinang, Sarawak dan Kedah.

Pulau Pinang telah menjadi hab elektrik dan elektronik utama serta bandar raya peringkat dua yang semakin meningkat manakala Kedah mendapat manfaat daripada limpahan permintaan daripada Pulau Pinang dan pelaburan besar daripada syarikat multinasional seperti Infineon dan Intel.

Sementara itu, Sarawak memberikan tumpuan kepada tenaga boleh baharu dan Johor menerima minat baharu berikutan pembinaan projek infrastruktur seperti Sistem Transit Aliran Johor Bahru–Singapura dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.

“Peralihan ini membantu mengurangkan tekanan di Lembah Klang selain menyediakan peluang baharu kepada pemaju hartanah di seluruh negara,” katanya.

Oleh itu, HLIB berkata perindustrian dan aktiviti ekonomi yang meningkat menaikkan nilai tanah di negeri-negeri ini.

Ia mengekalkan saranan “wajaran tinggi” ke atas sektor hartanah dengan pilihan utamanya ialah IOI Properties Group Bhd dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM3.30, OSK Holdings Bhd (TP: RM2.37), Sime Darby Property Bhd (TP: RM2.05) dan Sunway Bhd (TP: RM4.51).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan