EKONOMI > BERITA

INFLASI MALAYSIA KEKAL 2.0 PERATUS PADA JUN 2024

24/07/2024 03:11 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Inflasi Malaysia kekal 2.0 peratus pada Jun 2024, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ia berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) berada pada 133.0 mata berbanding 130.4 mata pada Jun 2023.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan inflasi didorong oleh peningkatan bagi kumpulan utama restoran dan perkhidmatan penginapan sebanyak 3.3 peratus, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain sebanyak 3.2 peratus.

“Inflasi bagi restoran dan perkhidmatan penginapan meningkat kepada 3.3 peratus (Mei 2024: 3.2 peratus). Ini disebabkan oleh peningkatan dalam subkumpulan utama perkhidmatan penyediaan minuman kepada 4.2 peratus (Mei 2024: 4.1 peratus).

“Sementara itu, inflasi bagi perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain meningkat pada kadar yang sama seperti bulan sebelumnya pada 3.2 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua perangkawan itu berkata peningkatan juga direkodkan dalam penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan pada 2.8 peratus, serta makanan dan minuman pada 2.0 peratus.

“Bagaimanapun, pakaian dan kasut, serta insurans dan perkhidmatan kewangan masing-masing turun kepada negatif 0.1 peratus, berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya,” katanya.

Mohd Uzir berkata inflasi bulanan secara keseluruhan bagi Jun 2024 mencatatkan peningkatan sebanyak 0.2 peratus yang disebabkan inflasi bagi pengangkutan sebanyak 0.5 peratus, restoran dan perkhidmatan penginapan (0.3 peratus) dan rekreasi, sukan dan kebudayaan (0.3 peratus).

Sementara itu, inflasi bagi suku kedua 2024 mencatatkan peningkatan 1.9 peratus berbanding 1.7 peratus pada suku pertama 2024.

"Selain itu, inflasi teras meningkat sebanyak 1.9 peratus pada Jun 2024, kadar yang sama seperti yang dicatatkan pada Mei 2024. Peningkatan ini didorong oleh kumpulan utama restoran dan perkhidmatan penginapan pada 3.3 peratus serta makanan dan minuman pada 2.8 peratus," kata Mohd Uzir.

DOSM berkata kebanyakan negeri mencatatkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 2.0 peratus, tetapi empat negeri merekodkan kenaikan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (3.3 peratus), Sarawak (2.7 peratus), Pahang (2.7 peratus) dan Selangor (2.4 peratus).

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan