EKONOMI > BERITA

Malaysia Sasar Jadi Destinasi Penjagaan Kesihatan Utama Global Menjelang 2025

04/08/2024 10:33 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Malaysia di landasan kukuh untuk muncul sebagai destinasi penjagaan kesihatan global utama pada 2025, dengan kejayaan sektor pelancongan penjagaan kesihatan negara mencatatkan hasil sebanyak RM2.25 bilion pada 2023.

Hanya dalam tempoh setahun sebelum Pelan Tindakan Industri Penjagaan Kesihatan Malaysia 2021-2025 selesai, aspirasi untuk memenuhi sasaran “Pengalaman Pelancongan Penjagaan Kesihatan Terbaik Malaysia” menjelang 2025 boleh dicapai berikutan peningkatan jumlah pelancong kesihatan yang berkunjung ke Malaysia.

Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), agensi di bawah Kementerian Kesihatan memberi tahu Bernama negara merekodkan 584,468 kedatangan pelancong kesihatan bagi tempoh Separuh Pertama 2024.

Agensi itu berkata, sebagai perbandingan, Malaysia merekodkan lebih satu juta ketibaan pelancong kesihatan pada 2023, meningkat 15 peratus daripada 850,000 pada 2022, yang mengukuhkan lagi kedudukan negara sebagai destinasi perubatan sedang berkembang pesat.

MHTC berkata Indonesia merupakan penyumbang tertinggi pelancong kesihatan ke Malaysia, merangkumi 70 peratus hingga 80 peratus daripada jumlah keseluruhan pada tahun lepas.

Rangka Tindakan Industri Perjalanan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2021-2025, yang antara lain menyentuh peranan pihak berkepentingan sektor awam dan swasta dalam ekosistem perjalanan penjagaan kesihatan, telah berjaya menyediakan rangka kerja pengalaman menyeluruh kepada pelancong kesihatan dengan penekanan utama kepada jenama penjagaan kesihatan Malaysia.

Antara tumpuan utama pelan tindakan itu ialah perkhidmatan perubatan, telekonsultasi, akses kepada maklumat, insurans, penginapan dan imigresen, yang akan memacu industri dan menjadikan Malaysia pusat tumpuan penjagaan kesihatan menjelang 2025.

Agensi itu berkata industri pelancongan kesihatan menyasar menjana pendapatan RM2.4 bilion sepanjang tahun ini, dan setakat ini, sektor itu telah meraih RM954.90 juta pada tempoh Separuh Pertama 2024.

MHTC berkata pencapaian itu dijangka menyumbang limpahan ekonomi kepada industri lain sebanyak RM9.6 bilion. 

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) harus dipuji atas peranannya dalam perjalanan ini berdasarkan kenyataan baru-baru ini bahawa agensi itu secara aktif menyokong pengembangan antarabangsa industri penjagaan kesihatan Malaysia.

Sokongan itu diberi melalui rangkaian pejabat globalnya yang luas untuk memastikan kedua-dua industri berdaya saing dan menjamin pertumbuhan masa depan.

MATRADE yang mempunyai 49 pejabat di seluruh dunia, menghubungkan syarikat Malaysia, termasuk firma penjagaan kesihatan, dengan pengimport asing melalui misi eksport, program padanan perniagaan serta laporan risikan pasaran, yang kesemuanya telah mempromosikan industri pelancongan penjagaan kesihatan Malaysia.

Usaha ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk memajukan inovasi dan kecemerlangan penjagaan kesihatan, meletakkan negara sebagai hab utama untuk perkongsian dan peluang perniagaan penjagaan kesihatan global, kata MATRADE.

 

Sunway Healthcare Group sebagai pemain utama penjagaan kesihatan 

 

Sunway Healthcare Group (SHG) adalah antara pemain dalam sektor pelancongan perubatan Malaysia, menerima lebih ramai pesakit antarabangsa yang mencari penyelesaian penjagaan kesihatan berkualiti tinggi dan mampu milik.

Pengarah Urusan SHG (operasi hospital dan penjagaan kesihatan) Dr Khoo Chow Huat berkata kumpulan itu menarik sejumlah besar pesakit antarabangsa, dengan jumlah tertinggi datang dari Indonesia.

Pesakit antarabangsa yang menerima rawatan di SHG tumbuh lebih 40 peratus bagi separuh pertama tahun ini daripada tempoh yang sama pada 2023. 

"Persamaan budaya, rangkaian perkhidmatan yang komprehensif, standard penjagaan yang tinggi dan kos yang lebih rendah berbanding negara jiran adalah antara kelebihan yang menarik mereka mendapatkan rawatan perubatan di sini.

“Ada antara mereka yang datang beberapa hari untuk pemeriksaan kesihatan atau rundingan pesakit luar. Pesakit lain mungkin tinggal satu hingga tiga minggu, atau lebih lama lagi, bergantung kepada rawatan perubatan mereka seperti pembedahan, kemoterapi dan pemulihan,” katanya kepada Bernama.

 

Perkhidmatan sokongan pesakit yang komprehensif

 

Khoo berkata penerimagunaan teknologi termaju dan kesedaran yang meningkat terhadap pelancongan perubatan mendorong SHG untuk menerima pesakit antarabangsa, khususnya di hospital kuaterner utamanya, Pusat Perubatan Sunway (SMC), Sunway City Kuala Lumpur.

Penjagaan kuaterner merupakan lanjutan daripada penjagaan tertier yang merujuk kepada tahap perubatan lanjutan, iaitu sangat khusus, tidak dapat diakses secara meluas dan biasanya hanya ditawarkan di pusat nasional atau antarabangsa dalam jumlah yang terhad.

SHG turut meluaskan kedudukannya, merangkumi hospital tertiari, iaitu Sunway Medical Centre Velocity, Cheras dan Sunway Medical Centre, Pulau Pinang. Ketiga-tiga hospital ini mempunyai kapasiti gabungan lebih 1,700 katil dan lebih 400 perunding pakar.

Beliau berkata SHG melabur dalam Pusat Pesakit Antarabangsanya, iaitu pusat sehenti yang menguruskan sepenuhnya, daripada terjemahan dan pemprosesan visa, sehingga bil dan janji temu, selain menubuhkan 10 pejabat wakilan di Indonesia bagi menyediakan sokongan dan bantuan untuk rawatan perubatan di Malaysia.

“Kami mempunyai 10 pejabat yang terletak di wilayah berbeza untuk membantu pesakit dalam semua urusan berkaitan rawatan, seperti membantu daftar masuk dan daftar keluar pesakit, menempah hotel, serta pemindahan perubatan ke Malaysia,” katanya.

 

Pengalaman pesakit antarabangsa

 

Yusof Fuad, 61, dari Jakarta, Indonesia telah menjalani rawatan penggantian pinggul di SMC sejak Mac 2024 selepas mengalami jangkitan daripada pembedahan penggantian pinggul sebelum ini, yang dilakukan tujuh tahun lepas.

Beliau menjalani dua pembedahan besar daripada Mac hingga Jun tahun ini dan dijangka kembali mendapatkan rawatan susulan pada Ogos.

“Melihat kepada kos kedua-dua pembedahan besar yang saya jalani, saya bersyukur kerana ia masih dilindungi insurans memandangkan SMC merupakan antara hospital yang bekerjasama dengan syarikat insurans antarabangsa khususnya di Indonesia.

“Selain itu, isteri dan anak-anak saya berpeluang menemani saya selama lebih lima bulan di Malaysia berikutan kadar pertukaran mata wang yang berpatutan dan lokasi yang dekat,” katanya.

Sementara itu, Cynthia Hamdani, 35,  dari Bandung, Indonesia, membuat keputusan menghantar anak perempuannya yang berusia empat tahun ke SMC selepas anak kecil itu mengalami masalah pencernaan.

“Di Bandung, SMC memang dikenali dan saya mendapat maklumat mengenainya daripada seorang rakan yang pernah dirawat di situ. Beliau memperkenalkan saya kepada kakitangan SMC dan mula berurusan dengan mereka menerusi telefon untuk memudah cara persiapan anak mendapatkan rawatan.

“Saya memilih Malaysia kerana ada kemudahan penerbangan terus manakala kos rawatan juga pada kadar berpatutan,” katanya.

 

Sunway Sanctuary

 

Antara insentif tambahan adalah kewujudan Sunway Sanctuary yang juga kemudahan penginapan premier bagi komuniti warga emas selain menawarkan penginapan jangka pendek untuk pesakit antarabangsa mendapat rawatan di SMC.

Malah, SMC tidak hanya menerima kalangan mereka dari Malaysia, tetapi juga dari Singapura, Korea Selatan, China dan Kanada dalam tahun pertama operasinya sejak setahun lepas.

“Terletak bersebelahan SMC, kami menggalakkan pesakit antarabangsa untuk tinggal di Sunway Sanctuary selepas rawatan agar mereka tenang dan menyedari mengenai keperluan jagaan kesihatan yang teratur (berikutan jaraknya yang dekat),” kata Khoo.

Sementara itu, Pengurus Besar Sunway Sanctuary Leonard Theng berkata kemudahan itu mencatat kadar penghunian sebanyak 30-35 peratus dalam tahun pertamanya.

Rakyat Singapura merupakan segmen penting dalam sasaran kumpulan, terutama disebabkan oleh nilai mata wang republik itu yang kukuh.

"SMC pada masa ini mempunyai kira-kira 70 penghuni dan kami menyasarkan untuk menggandakan bilangan itu kepada 140-150 orang pada tahun akan datang," katanya.

Sejajar peranan menjadi sebahagian daripada perintis era baharu penjagaan warga emas, Theng berharap Sunway Sanctuary juga berupaya mengimbangi segmen penjagaan kesihatan dan hospitaliti menerusi tawaran untuk pesakit antarabangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan