EKONOMI > BERITA

Syarikat Teknologi Utama Kembangkan Kapasiti Pusat Data Di Asia - EIU

21/08/2024 02:10 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Kalangan syarikat teknologi utama dijangka mengembangkan kapasiti pusat data di Asia susulan jangkaan tekanan ke atas grid nasional, menurut Economist Intelligence Unit (EIU).

EIU menjelaskan Grid Nasional United Kingdom mengunjurkan permintaan elektrik daripada pusat data melonjak enam kali ganda mulai kini hingga 2034, didorong oleh pemprosesan data berkaitan kecerdasan buatan (AI).

“Pada masa ini, Amerika Syarikat menempatkan sebahagian besar pusat data dunia dan beberapa bandar di negara lain turut menjadi hab awan yang popular.

“Bagaimanapun, pelaburan oleh syarikat teknologi utama menunjukkan masing-masing akan memindahkan kemudahan awan melangkaui Amerika Utara dan membina sebahagian besar infrastruktur baharu masing-masing di rantau Asia Pasifik,” jelasnya menerusi kenyataan pada Rabu.

Kenyataan itu sempena analisis EIU mengenai pusat data dan kemungkinan impak ke atas grid nasional.

Menurut EIU syarikat pusat data mencari tenaga yang boleh dipercayai, ketersediaan tanah dan dasar data apabila mereka ingin melabur.

“Singapura, Hong Kong, China, Korea Selatan, Jepun, India dan Australia mempunyai beberapa bandar yang menempatkan beberapa pusat data.

“Selain rancangan pengembangan dalam pasaran sedia ada, syarikat awan juga akan membina infrastruktur baharu di Thailand, Malaysia, Taiwan dan New Zealand,” tambahnya.

Analisis itu juga menjelaskan syarikat teknologi utama sedang mencari cara alternatif untuk menggerakkan pusat data mereka, dan juga mengurangkan pelepasan susulan tekanan ke atas grid nasional.

“Antaranya melalui perjanjian pembelian tenaga dengan penjana elektrik, yang akan membantu pengendali pusat data mengelak daripada bergantung sepenuhnya kepada grid.

“Perjanjian sedemikian juga membolehkan pematuhan terhadap peraturan masa depan,” tambahnya.

Pusat data akan beransur-ansur dan pasti dipertanggungjawabkan dengan penggunaan tenaga antara lain, walaupun dasar di semua negara tidak akan seragam, menurut EIU.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan