EKONOMI > BERITA

Untung Bersih Alliance Bank Meningkat Kepada RM176.65 Juta Bagi Suku Pertama

29/08/2024 04:28 PM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Alliance Bank Malaysia Bhd meningkat 17.3 peratus kepada RM176.65 juta bagi suku pertama berakhir 30 Jun, 2024 daripada RM150.54 juta pada suku yang sama tahun kewangan 2024.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, Alliance Bank menjelaskan prestasi itu didorong terutama oleh peningkatan pendapatan yang mengimbangi perbelanjaan operasi yang lebih tinggi dan peruntukan kerugian kredit yang dijangkakan.

Perolehan suku pertama meningkat 15.8 peratus kepada RM539.78 juta daripada RM466.26 juta bagi tempoh yang sama tahun kewangan 2024.

Menurut bank itu pendapatan faedah bersih meningkat 15.8 peratus kepada RM464.7 juta, dipacu oleh jumlah pinjaman lebih tinggi manakala margin faedah bersih adalah 2.45 peratus.

“Pendapatan bukan faedah meningkat 15.7 peratus kepada RM75.1 juta, terutama daripada pendapatan pengurusan kekayaan yang lebih tinggi serta jualan dan fi dagangan pertukaran mata wang asing manakala nisbah kos kepada pendapatan adalah 48.0 peratus,” tambahnya.

Menurut Alliance Bank momentum pinjaman keseluruhan berterusan dengan pertumbuhan 14.8 peratus tahun ke tahun, hampir sekali ganda daripada pertumbuhan 7.9 peratus yang direkodkan pada suku pertama tahun kewangan 2024.

“Prestasi positif itu diterajui oleh pertumbuhan perbankan perusahaan kecil dan sederhana (17.1 peratus tahun ke tahun), komersial (17.5 peratus tahun ke tahun), korporat (9.7 peratus tahun ke tahun) dan pengguna (14.0 peratus tahun ke tahun).

“Pendanaan Alliance Bank adalah baik, dengan deposit pelanggan meningkat 11.6 peratus tahun ke tahun, manakala nisbah akaun semasa/simpanan (CASA) kekal sebagai antara yang tertinggi dalam industri iaitu pada 41.5 peratus,” katanya.

Sementara itu, kos kredit bersih suku pertama tahun kewangan 2025 adalah 8.1 mata asas, manakala nisbah perlindungan kerugian pinjaman bank itu adalah 111.6 peratus.

“Bank ini kekal mempunyai modal yang kukuh dengan nisbah modal ekuiti biasa kumpulan satu sebanyak 12.2 peratus dan nisbah modal keseluruhan sebanyak 16.4 peratus.

“Dari segi kedudukan mudah tunai,  Alliance Bank berdaya tahan dengan nisbah perlindungan mudah tunai 163.0 peratus dan nisbah pinjaman kepada dana sebanyak 88.2 peratus,” tambahnya.

Mengenai prospek, bank itu menjangkakan dapat mengekalkan prestasi kewangan positif dan komited dalam mencapai objektif pertumbuhan mengikut strategi “Acceler8”.

“Susulan peningkatan pinjaman melebihi purata industri, amalan pengurusan risiko kredit yang tinggi, pengukuhan saranan deposit dan CASA serta pelaburan dalam teknologi, Alliance Bank menyasar untuk meneruskan momentum pertumbuhan dalam tahun kewangan 2025,” menurutnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan