EKONOMI > BERITA

PM New Zealand Bertemu Khairul Aming, Nikmati Sajian Roti Jala Dan Teh Tarik

03/09/2024 07:13 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Kunjungan Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon, yang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia berakhir hari ini, turut diserikan dengan pertemuan dengan pempengaruh popular dan usahawan tempatan, Khairul Amin Kamarulzaman.

Luxon berada di Malaysia pada 1-3 Sept, 2024 dan ini merupakan kunjungan pertama beliau ke negara ini selepas mengambil alih pentadbiran New Zealand pada November 2023.

Menerusi perkongsian di akaun X miliknya, Khairul Amin atau lebih dikenali sebagai Khairul Aming berkata pertemuan di restoran Hidang KL di sini, hari ini, juga sebagai tanda terima kasih kerajaan New Zealand susulan kehadirannya ke negara itu baru-baru ini bagi menghasilkan siri video masakan.

Lebih manis lagi, pertemuan itu dimanfaatkan oleh pempengaruh bidang masakan itu untuk memperkenalkan sajian ‘ikonik’ sarapan Malaysia seperti nasi lemak, roti jala dan teh tarik yang turut disertai dengan sesi memasak roti jala bersama pemimpin New Zealand itu.

Tidak hanya menjamu selera, beliau juga sempat bertukar pandangan dengan Luxon mengenai aspek pelancongan antara Malaysia dan New Zealand, eksport perdagangan daging halal dan hasil tenusu, pemuliharaan alam semula jadi serta potensi eksport produk-produk perusahaan kecil dan sederhana ke New Zealand.

“Siapa sangka, lapan tahun lepas, saya melakukan rakaman video memasak pertama dengan hanya duduk di atas lantai di rumah sewa...namun hari ini dapat duduk bersebelahan Perdana Menteri (dari negara) terkenal dunia.

“Berusahalah dengan gigih, anda pasti kagum sejauh mana hidup ini mampu membawa anda,” kata Khairul Aming yang mempunyai seramai 4.1 juta pengikut dan 1.5 juta pengikut, masing-masing di Instagram dan X.

Bercakap kepada Bernama kemudiannya, Khairul Aming berkata sewaktu berada di New Zealand bagi melakukan rakaman video masakan itu, beliau mendapati terdapat banyak daging halal yang boleh diimport oleh Malaysia.

“Oleh itu, saya berminat untuk mengetahui aspek perdagangan halal antara New Zeland, Malaysia dan serata dunia,” katanya.

Berkongsi mengenai siri video masakannya di New Zealand itu, Khairul Aming berkata beliau sendiri tidak menyangka video itu turut tular di negara itu sehingga menarik perhatian kedutaan New Zealand dan Luxon.

“Saya ingatkan hanya sekadar ‘fyp’ (for your page) yang sudah pun memadai, tapi rupanya turut ‘fyp’ di New Zealand. Susulan itu, Kedutaan (New Zealand) menghubungi saya dan menyatakan hasrat Perdana Menteri berjumpa dalam agenda lawatannya ke Malaysia.

“Bagi saya, ini merupakan antara pengalaman berharga dalam hidup,” katanya.

Pertemuan santai Luxon dan Khairul Aming telah berlangsung selama 45 minit.

Anak kelahiran Kota Bahru, Kelantan, nama Khairul Aming sudah sinonim dengan siri video masakan Ramadan beliau yang tular bertajuk ‘30 Hari 30 Resepi.’

Bukan setakat terkenal sebagai pempengaruh, lulusan kejuruteraan mekanikal Vanderbilt University, Amerika Syarikat itu juga berjaya dalam bidang perniagaan, termasuk mempunyai dua kilang di Kota Bahru bagi produk termasuk ‘Sambal Nyet.’ 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan