EKONOMI > BERITA

Co-Opbank Bakal Terbitkan Sukuk Berstruktur Terlindung Sehingga RM5 Bilion

05/09/2024 12:39 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Co-opbank Pertama Malaysia Bhd (CBP) akan menerbitkan Sukuk Berstruktur Terlindung sehingga RM5 bilion sebagai antara strategi untuk memastikan keadaan kewangannya stabil dan konsisten, kata Ketua Pegawai Kewangannya, Nor Aznizam Nor Azmi.

“Buat masa sekarang, proses untuk menerbitkan sukuk tersebut sedang berjalan. Ia perlu melalui proses kelulusan pengawal selia CBP iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Bank Negara Malaysia. 

“Pastinya, kita akan memberikan kadar pulangan yang baik untuk sukuk yang kita terbitkan ini. Sukuk ini akan dikeluarkan secara berperingkat,” katanya dalam program ‘Apa Khabar Malaysia’ terbitan Bernama TV hari ini. 

Nor Aznizam menjelaskan sukuk berkenaan menerima penarafan A3 daripada agensi penafaran kredit, RAM Ratings.

"Penarafan A3 daripada RAM Ratings ini memberi maksud kita (CBP) berada dalam kedudukan kewangan yang stabil untuk menerbitkan sukuk," jelas beliau. 

Nor Aznizam juga memberitahu prestasi pelaburan sukuk yang dibuat oleh CBP sehingga Julai 2024 telah menyumbang kira-kira 13 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan CBP.

Pada 2022, pelaburan sukuk menyumbang sebanyak lapan peratus, manakala pada 2023 ia telah meningkat kepada 10 peratus dengan jumlah asset pelaburan bernilai RM1.5 bilion.

Selain itu, ia juga telah mengumumkan kadar dividen bagi syer biasa sebanyak 6.5 peratus dan syer keutamaan boleh tukar boleh tebus Islam (iRCPS) sebanyak 6.78 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023.

Dalam mempromosikan CBP kepada masyarakat, Nor Aznizam berkata pihaknya turut mengadakan kempen tahunan ‘Hello CBP’ yang sedang berjalan sehingga 31 Dis, 2024 yang mana pelanggan berpeluang memenangi hadiah sehingga RM1.5 juta. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan