EKONOMI > BERITA

Jualan Asing Ekuiti Malaysia Berkurangan Kepada RM45.7 Juta Minggu Lepas

14/10/2024 12:03 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Pelabur asing terus menjual ekuiti domestik selama tiga minggu berturut-turut, walaupun pada kadar yang lebih sederhana sebanyak RM45.7 juta, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF).

Dalam laporan aliran dana pada minggu berakhir 11 Oktober, MIDF berkata jualan bersih yang ketara adalah pada Isnin dan Jumaat, dengan aliran keluar, masing-masing sebanyak RM147.9 juta dan RM216.6 juta.

Situasi ini mengimbangi aliran masuk yang dicatatkan dari Selasa hingga Khamis, antara RM44.4 juta dan RM70.2 juta setiap hari.

“Sektor dengan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah produk dan perkhidmatan pengguna (RM98.0 juta), hartanah (RM31.8 juta) dan perladangan (RM23.7 juta).

“Sebaliknya, sektor dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (-RM184.5 juta), pengangkutan dan logistik (-RM48.0 juta) dan penjagaan kesihatan (-RM44.0 juta),” katanya.

Menurut MIDF, pelabur institusi tempatan menyokong bursa tempatan untuk minggu kelima berturut-turut, dengan belian bersih berjumlah RM93.4 juta.

Peruncit tempatan juga merupakan pembeli bersih untuk minggu ketiga berturut-turut, dengan jumlah belian sebanyak RM102.5 juta.

Purata jumlah dagangan harian (ADTV) merosot dalam semua kategori pelabur minggu lepas.

Pelabur runcit menyaksikan penurunan sebanyak 0.6 peratus manakala institusi tempatan dan pelabur asing, masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 5.4 peratus dan 6.4 peratus.

Di peringkat serantau, katanya ia merupakan satu lagi minggu untuk pelabur asing menjual ekuiti Asia, dengan aliran masuk bersih berjumlah US$4.43 bilion, angka yang lebih rendah daripada aliran keluar bersih sebanyak US$7.31 bilion dicatatkan pada minggu sebelumnya.

“Taiwan dan Filipina adalah dua negara yang hanya mencatatkan aliran masuk asing bersih ke dalam pasaran ekuiti mereka,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan