BELANJAWAN 2024 > BERITA

SUKMA 2024: Insentif Sarawak Buat Pemenang Pingat Melebihi Kontinjen Lain

15/08/2024 03:55 PM

KUCHING, 15 Ogos (Bernama) -- Insentif untuk atlet Sarawak yang berjaya menyumbang pingat di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 akan melebihi ganjaran yang diberikan oleh negeri lain yang sudah mengumumkan tawaran kepada atlet mereka.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka mengumumkannya dalam majlis penyampaian pingat acara taekwondo di Stadium Perpaduan di sini esok.

“Berapa kerajaan negeri hendak beri saya berani katakan cukup lumayan sekali. Saya harap atlet kita dapat menambah pingat emas untuk Sarawak,” katanya selepas merasmikan Perkampungan Sukan SUKMA 2024 di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kota Samarahan hari ini.

Setakat ini, Selangor dan Johor merupakan dua negeri yang masing-masing menawarkan insentif tertinggi sehingga RM10,000 kepada pemenang pingat emas dalam SUKMA 2024, manakala Pahang pula menawarkan insentif RM6,000.

Perlis, Perak, Wilayah Persekutuan, Melaka, Negeri Sembilan masing-masing menjanjikan ganjaran RM5,000 kepada pemenang pingat emas mereka dalam acara individu, sementara Pulau Pinang, Sabah, Kelantan dan Terengganu masih berteka-teki mengenai perkara itu.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata semua permasalahan atau aduan kemudahan sukan, logistik serta penginap atlet di kesemua bahagian yang terlibat dengan SUKMA 2024 akan segera ditangani oleh petugas dengan sebaik mungkin.

“Pada peringkat ini, mesti ada beberapa perkara yang sedikit sebanyak perlu kita perhalusi. Contohnya padang bola sepak di Bintulu dan Sibu yang agak kita risau sebelum ini namun kini sudah dapat diaturkan semuanya,” katanya.

SUKMA 2024 menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

Sempena SUKMA 2024 di Sarawak yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos ini, Bernama memperkenalkan laman web khas sukma.bernama.com yang menyajikan berita berkaitan perkembangan semasa kontinjen negeri dan pencapaian mahupun cerita menarik atlet terlibat dalam temasya sukan dwitahunan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan