BERITA TERGEMPAR   ACE Market-bound Solar District Cooling Group Bhd aims to raise RM45.09 million from IPO; scheduled to list on Sept 19, 2024 | 
 BELANJAWAN 2024 > BERITA

Andrew, Chen Jie Diumum Atlet Terbaik SUKMA 2024

24/08/2024 10:22 PM

KUCHING, 24 Ogos (Bernama) -- Perenang Selangor Andrew Goh dan penembak Negeri Sembilan Gan Chen Jie masing-masing dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Lelaki dan Wanita Sukan Malaysia (SUKMA) 2024. 

Selaku atlet terbaik SUKMA 2024, Andrew dan Chen Jie membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, piala iringan dan piala pusingan setiap seorang.

Anugerah itu disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada upacara penutupan yang berlangsung di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, malam ini.

Andrew, 20, diangkat sebagai penerima anugerah itu selepas meraih lima pingat emas, dua dengan memecahkan rekod kebangsaan menerusi acara 100m kuak dada (1:01.39s) dan 50m kuak dada menerusi masa 28.03s pada saringan dan 27.40s pada final, mengatasi rekod Sukan SEA 27.56s yang dicatatkan perenang Indonesia Felix Viktor Iberie pada edisi 2023 di Kemboja.

Beliau yang beraksi di SUKMA buat kali kedua, turut merangkul emas dengan memadam rekod SUKMA bagi acara 200m kuak dada, 4x100m rampaian lelaki, selain sebutir lagi emas menerusi acara 4x100m rampaian campuran. 

Kejayaan itu membantu beliau mengatasi atlet tumpuan seperti penembak Pahang Cheah Zen Hong (tujuh emas, satu rekod temasya), perenang Wilayah Persekutuan Muhammad Dhuha Zulfikry (enam emas, dua perak, empat rekod temasya) dan pelari Johor Umar Osman (empat emas, tiga rekod temasya).

Sementara itu, Chen Jie, yang sebutannya seakan-akan ‘Cheng Chi’ yang membawa maksud peluru dalam dialek Hokkien, merangkul gelaran itu selepas meraih tujuh pingat emas, dua dengan rekod temasya. 

Beliau mencatatkan rekod dalam acara 10m Air Rifle individu dengan 248.2 mata mengatasi catatan 243.7 mata dan 50m Rifle 3 Posisi dengan 499 mata mengatasi rekod 443.5 mata, selain membawa pulang emas 50m Rifle Prone, acara berpasukan wanita bagi 10m Air Rifle, 50m Rifle Prone dan 50m Rifle 3 Posisi serta 10m Air Rifle campuran. 

Pencapaiannya itu berjaya membantu skuad menembak Negeri Sembilan mencipta kejutan meraih 12 emas, tiga perak dan empat gangsa untuk menamatkan saingan di kedudukan kedua, hanya sedikit ketinggalan di belakang Pahang yang merangkul 12 emas, lima perak dan empat gangsa.

Bidikan tepat Chen Jie berjaya mengatasi pencabar lain, antaranya perenang tuan rumah Kelly Teo Yao (enam emas, satu perak, dua gangsa), atlet gimrama Wilayah Persekutuan Cassidy Tan Jia Xin (empat emas, satu perak) dan pelari pecut Selangor Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal (tiga emas, satu gangsa, dua rekod temasya).

Sarawak muncul juara keseluruhan selepas mengumpul 76 pingat emas, 55 perak dan 70 gangsa.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan