BELANJAWAN 2024 > BERITA

Rugi Bersih Tahun Kewangan 2024 Supermax Naik Kepada RM175.03 Juta

28/08/2024 08:58 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Kerugian bersih Supermax Corporation Bhd meningkat kepada RM175.03 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 daripada RM140.86 juta setahun lepas.

Hasil merosot dengan ketara kepada RM646.17 juta daripada RM821.09 juta pada tahun kewangan 2023.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Supermax berkata suku keempat mencatatkan kerugian bersih RM127.93 juta daripada keuntungan bersih RM1.41 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya.

Penurunan itu disebabkan oleh beberapa caj sekali sahaja, termasuk kerosakan kilang dan jentera, acuan dan peralatan di kilang lama, yang telah menghentikan pengeluaran semasa suku keempat berjumlah RM27.1 juta.

Selain itu, peruntukan bagi stok bahan pembungkus yang lama dan usang serta inventori sarung tangan yang digred rendah di kilang lama yang berjumlah RM3.3 juta turut menyumbang kepada penurunan.

Hasil bagi suku keempat susut kepada RM179.64 juta berbanding RM222.60 juta kerana pasaran sedang pulih daripada ketidakseimbangan permintaan dan bekalan akibat lebihan bekalan sarung tangan pada masa lepas, katanya.

Pengeluar sarung tangan itu berkata pasaran sarung tangan getah sedang mengalami pemulihan sederhana apabila permintaan untuk sarung tangan getah perubatan dan pembedahan meningkat pada Mac walaupun keadaan lebihan bekalan semasa, yang dijangka seimbang menjelang 2025.

Ia berkata peningkatan permintaan adalah disebabkan pelanggan menambah semula stok mereka kerana stok yang dibeli ketika pandemik akan tamat tempoh atau telah tamat tempoh.

"Dengan permintaan pada aliran menaik, harga juga dijangka meningkat tetapi masih belum kembali ke paras normal," katanya.

Supermax berkata tempahan daripada pelanggan semakin meningkat secara beransur-ansur tetapi pada harga pasaran yang rendah untuk kumpulan itu.

Selaras dengan pemulihan yang akan berlaku dalam permintaan, Supermax berkata ia secara beransur-ansur meningkatkan kapasiti pengeluaran, dan meneruskan rancangan untuk membina enam blok pembuatan moden dan lebih cekap yang baharu, dengan barisan pengeluaran dipasang secara beransur-ansur mengambil kira keadaan pasaran semasa.

"Tatkala kumpulan meningkatkan kapasiti pengeluaran dengan melabur dalam teknologi automasi, yang akan meminimumkan kos dan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing, Supermax akan terus mengukuhkan kedudukan untuk memanfaatkan pasaran sarung tangan yang kembali rancak pada 2025,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan