BELANJAWAN 2024 > BERITA

A. Samad Said, Faridah Merican Antara Tujuh Penerima Anugerah Merdeka 2024

29/08/2024 12:38 AM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Sasterawan Negara Datuk Seri Abdul Samad Muhammad Said atau A. Samad Said dan tokoh teater terkenal Datuk Dr Faridah Merican antara tujuh individu cemerlang dipilih sebagai penerima Anugerah Merdeka 2024. 

Kedua-dua mereka merupakan penerima bersama bagi kategori Pendidikan dan Komuniti atas sumbangan luar biasa dalam bidang masing-masing.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang juga Penaung Diraja dan Pengerusi Merdeka Award Trust (MAT) berkenan menyampaikan anugerah berprestij itu pada Majlis Pengumuman dan Penyampaian Anugerah Merdeka 2024 di sini malam ini.

Turut berangkat pada majlis itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Menzahirkan ucapan terima kasih kepada MAT, A. Samad Said berkata anugerah itu diharap dapat  memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menyumbang kepada negara berdasarkan kebolehan dan potensi mereka.

“Saya fikir kejayaan saya adalah menulis novel yang saya tidak sangka sebenarnya menjadi. Tetapi selepas saya dapat pujian, selepas saya dapat hadiah, saya rasa ini seakan satu anugerah yang tak disangka dan saya amat besar hati dan berterima kasih.

“Setiap kali saya menulis dan menjadi, dan mendapat sambutan yang baik, saya merasa itu bukan saja keuntungan bagi saya, keuntungan bagi masyarakat dan saya fikir ia menjadi khazanah untuk negara,” kata penulis novel dan puisi terkemuka itu kepada pemberita ketika ditemui pada majlis tersebut. 

A.Samad Said, 89, dipilih menerima anugerah itu kerana sumbangan besarnya dalam dunia kesusasteraan Melayu merangkumi novel, puisi, esei, drama, dan seni persembahan.

Sementara itu, Faridah, 84, yang juga dikenali sebagai ‘Wanita Pertama’ bagi Teater Malaysia, dipilih kerana komitmen tidak berbelah bagi beliau dalam mencorakkan landskap seni persembahan negara dan memberi rakyat Malaysia akses serta pendedahan berharga kepada seni.

Pengasas bersama Actors Studio, Kuala Lumpur Performing Arts Centre, dan Performing Arts Centre of Penang itu berharap industri seni persembahan tempatan menjadi pusat yang dinamik dan inklusif bagi menyuburkan kreativiti dengan bimbingan kepada artis baharu, merayakan karya inovatif dan masyarakat bersatu melalui perkongsian pengalaman serta pengayaan budaya.

“Selagi saya hidup ini, saya ingin melihat lebih banyak persembahan teater diadakan. Walaupun kini banyak aktiviti teater muncul tetapi lebih tertumpu di Kuala Lumpur dan agak malang ia tidak berlaku di seluruh negara. Jadi, menjadi harapan saya agar aktiviti teater ini diadakan di seluruh negara,” katanya.

Terlibat dalam dunia teater sejak 1960, beliau berkongsi minat tersebut bersama suaminya, Joe Hasham dengan membangunkan seni persembahan dan pendidikan dalam bidang tersebut.

Penerima lain bagi Anugerah Merdeka tahun ini termasuk Prof Dr Joy Jacqueline Pereira untuk kategori Alam Sekitar, Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman (Kesihatan, Sains dan Teknologi), Profesor Emiratus Dr Jomo Kwame Sundaram (Pencapaian Akademik Cemerlang) dan Dr Kathryn Anne Rivai (Sumbangan Luar Biasa kepada Rakyat Malaysia) .

Sementara itu, pemberita Ian Yee Ngan Fui yang menang pelbagai anugerah dan pengasas bersama The Fourth serta Pengarang Penyiasat Tetap bagi Asia Investigative Reporting Network menerima Anugerah Harapan Merdeka. 

Beliau dipilih kerana usahanya menerajui bidang kewartawanan penyiasatan di Malaysia dalam kalangan belia, menghasilkan dokumentari multimedia yang berkesan serta kempen tindakan awam yang inovatif menentang ketidakadilan sosial.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan