BELANJAWAN 2024 > BERITA

i-MULA 50 Perkasa 100,000 Rakyat Malaysia Dengan Perlindungan Insurans Hayat Mampu Milik

29/08/2024 12:53 AM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) hari ini melancarkan Dana Pakej Insurans Permulaan (SPIF) menerusi i-MULA 50, satu inisiatif yang direka untuk menjadikan insurans hayat lebih mudah diakses dan mampu dimiliki oleh 100,000 rakyat yang layak.

Ketua Pegawai Eksekutif LIAM Mark O’Dell berkata inisiatif itu menyediakan subsidi RM50 sekali sahaja bagi setiap polisi insurans hayat dengan perlindungan termasuk faedah bagi kematian, hilang upaya menyeluruh dan kekal, penyakit kritikal, perbelanjaan perubatan serta pendapatan hospital.

“Dengan SPIF, kami memperuntuk dana RM5 juta untuk memanfaatkan 100,000 rakyat Malaysia yang layak dengan memfokus kepada golongan belia, keluarga muda dan pembeli kali pertama dengan memberi subsidi RM50 bagi setiap polisi,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada majlis pelancaran SPIF di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Gabenor Bank Negara (BNM) Adnan Zaylani Mohamad Zahid dan Presiden LIAM Raymond Lew.

O’Dell berkata majlis hari ini adalah bersempena sambutan Ulang Tahun ke-50 LIAM yang sekali gus mengetengahkan kepentingan pelancaran i-MULA 50 semasa Bulan Kebangsaan dan menyifatkan ia sebagai masa untuk mengimbas kembali perjalanan Malaysia serta sumbangan persatuan itu kepada pembinaan negara.

Sementara itu, kenyataan LIAM memaklumkan bahawa di bawah program i-MULA 50, sejumlah 11 syarikat insurans hayat menawarkan 31 pelan perlindungan mampu milik mulai hari ini dan ia akan berjalan sehingga dana RM5 juta digunakan sepenuhnya.

“Bagi mengekalkan kemampuan, premium tahunan bagi kesemua pelan ini adalah di antara RM75 hingga RM600. Pemegang polisi dikehendaki membuat bayaran premium tahunan sekurang-kurangnya RM25 untuk menerima subsidi RM50 selain memastikan pemegang polisi benar-benar memahami produk insurans yang mereka rancang untuk beli,” menurut kenyataan itu.

Pada majlis itu, Lew dalam ucapannya berkata industri insurans dan takaful selepas berunding dengan BNM, telah menjalankan kajian pada 2022 ke atas segmen B40 dan M40 bagi mereka bentuk produk insurans mikro yang disesuaikan untuk pasaran berpendapatan rendah yang membawa kepada pelancaran SPIF hari ini.

Beliau berkata kajian itu telah mengenal pasti risiko utama seperti kemalangan, isu kesihatan, kehilangan pendapatan dan kematian sekali gus membimbing syarikat insurans untuk membangunkan produk mampu milik yang memenuhi keperluan dan menggalakkan pertumbuhan inklusif.

“Menampilkan pelan insurans dengan premium rendah dan produk tersuai daripada inisiatif Perlindungan Tenang, dana ini menyediakan perlindungan insurans hayat asas pada premium bersubsidi sekali gus menjadikan ia lebih mudah diakses terutama bagi pembeli kali pertama yang mungkin sebelum ini merasakan kos insurans adalah mahal,” katanya.

Selain itu, Lew berkata selama ini LIAM memainkan peranan penting dalam mempromosi perlindungan dan perancangan kewangan melalui pendidikan serta menyumbang kepada komuniti serta pembangunan ekonomi negara.

Justeru itu, beliau berkata persatuan itu berdedikasi untuk meneruskan usaha meningkatkan penembusan insurans dan perlindungan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia pada masa akan datang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan