SEORANG MAUT, TIGA CEDERA KERETA TERBABAS LANGGAR 'BACKHOE'

09/06/2024 12:11 PM

GEORGE TOWN, 9 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar jentera pengorek kaut (backhoe) dalam kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran Bukit Dumbar, awal pagi hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di belakang tempat duduk penumpang depan.

"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 4.16 pagi dan terus ke lokasi kejadian sebelum mendapati kemalangan jalan raya melibatkan kereta Proton Saga yang telah terbabas dan melanggar sebuah jentera backhoe, terdapat empat orang dalam kereta itu.

"Dua lelaki mengalami kecederaan ringan, seorang wanita pula yang mengalami kecederaan parah dihantar ke hospital manakala seorang lagi lelaki tersepit di ruang penumpang belakang dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan Kementerian Kesihatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat mangsa berjaya dikeluarkan pasukan bomba dengan menggunakan peralatan khas dalam masa 15 minit sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan