Dua Maut Kemalangan Empat Kenderaan Di Kota Tinggi

02/09/2024 09:49 PM

KOTA TINGGI, 2 Sept (Bernama) -- Dua maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 61.5, Jalan Johor Bahru-Mersing di sini, pagi tadi. 

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi DSP Mohd Syamsuri Mohamad berkata seorang wanita berusia 51 tahun yang juga penumpang belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) Mitsubishi Xpander dan penunggang motosikal Yamaha 135LC lelaki berusia 21 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian melibatkan dua kenderaan berkenaan serta kereta Perodua Viva dan lori Isuzu, kira-kira 11.40 pagi. 

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila MPV Xpander dari arah Johor Bahru ke Mersing dipercayai cuba memotong di garisan putus-putus, manakala kereta Viva dari arah bertentangan pula cuba mengelak ke sebelah kanan lalu terbabas ke bahu jalan, sebelum melanggar batu penanda jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata MPV yang hilang kawalan itu kemudiannya telah melanggar motosikal sebelum penunggang dan penumpang belakang Xpander tercampak ke bahu jalan.

“Satu objek iaitu ‘jack’ besi turut tercampak keluar dan terkena cermin hadapan lori sebelum mengenai dada pemandu,” katanya. 

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Kota Tinggi manakala ketiga-tiga pemandu lain mengalami cedera ringan dan dirawat di hospital sama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan