Bom Lama Di Kluang Berjaya Dimusnahkan

29/08/2024 08:28 PM

KLUANG, 29 Ogos (Bernama) -- Bom lama jenis Aeriel 500 Ibs yang ditemui semasa kerja pembersihan di kawasan perumahan berhampiran Jalan Tabah, Taman Sri Lambak, Selasa lepas berjaya dimusnahkan hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata bom yang berjaya dimusnahkan kira-kira pukul 5 petang itu dipercayai digunakan ketika perang dunia kedua.

Beliau berkata kerja-kerja pemusnahan berkenaan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Pemusnah Bom (UPB) Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang. 

“Sebelum itu pada Selasa, penemuan bom lama terbabit dilaporkan di Balai Polis Renggam oleh pekerja syarikat pemaju yang membersihkan kawasan tapak perumahan berhampiran Taman Sri Lambak.

“Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota UPB daripada IPK Johor serta IPD Kluang dikejarkan ke lokasi penemuan bom itu dengan tujuan untuk pemusnahan,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Bagaimanapun, beliau berkata ketika kerja pemusnahan dilakukan, lubang tempat memusnahkan bom itu runtuh sehingga ia ditangguhkan dan dalam masa yang sama mengakibatkan dua anggota UPB cedera serta dikejarkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.

“Kerja-kerja memusnahkan bom lama itu kemudiannya dilakukan pada hari ini dan ia berjaya kira-kira pada pukul 5 petang tadi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan